Setelah selesai menyaksikan Fahrin Ahmad menari sambil tersenyum aneh, skrin televisen nipis itu diam. Logo-logo syarikat penerbitan siri televisen yang makin naik namanya dipaparkan secara bergerak di skrin. Syarikat penerbitan yang terlibat adalah "Talibesen Produksi" yang memaparkan logo berupa seekor pelanduk, "Hameed Kerabu Mosyen" yang memaparkan logo seakan-akan permaidani, serta "Ini TVlah" yang memaparkan logo lelaki memancing di sebuah tasik lama sambil memegang sebuah televisen antik.
"...ramai yang tanya jadi handal apa petua bila keluar senget topi lodeh seluar..." lagu tema untuk episod ini dinyanyikan oleh Madona, diiringi oleh ketukan drum dari Ella. Semua penonton sudah mula berkumpul di hadapan televisen masing-masing, ada yang muda, ada yang tua, ada yang sudah kerja, ada yang belum kerja, ada yang pakai baju hitam, ada yang tak pakai baju hitam, ada yang tak pakai baju serta ada yang berkecimpung dalam politik.
Babak-babak dari episod akhir dimainkan, babak Ferodok serta Sang Goh Lum yang menarik-menarik. Babak di mana Ferodok sedang lincah mencampurkan rempah-rempah Adabi ke dalam periuk serta babak di mana Sang Goh Lum sedang conteng dinding. Babak terakhir yang dipasang adalah babak belon udara bergegar-gegar. Babak tersebut dimainkan secara slow-motion, dengan runut bunyi yang dipasang secara kuat sehingga 290 desibel. Para penonton nampaknya sudah tidak sabar untuk ambil tahu akan kisah berikutnya. Skrin digelapkan secara berhemah.
Ferodok hampir terjatuh, tetapi sempat membuat balik kuang dan mendarat di atas lantai dapur belon udara. Sang Goh Lum terhantuk ke dinding akibat gegaran yang maha hebat itu, dia pengsan di tempat kejadian. Sama ada dia hidup atau mati, itu tidak diberitahu kepada penonton, tetapi jika diteliti, kepala Sang Goh Lum langsung tiada darah. Kemungkinan besar dia masih hidup.
Setelah menstabilkan diri, Ferodok berlari ke arah bilik kawalan belon udara yang berpusat di tingkat atas. Dalam keadaan belon udara itu bergegar-gegar, Ferodok terpaksa berlari dengan berhati-hati serta terjongket-jongket. Dalam perjalanan, Ferodok terlihat akan Sang Goh Lum yang terbaring keenakan, Ferodok buat tidak peduli, dia harus ke bilik kawalan. Musik laju oleh suatu kugiran dari Selatan Marcedonia dimainkan. Mula-mula musik itu dimainkan secara perlahan, namun semakin lama semakin volume ditingkatkan. Penonton sekalian semua dalam keadaan berjaga-jaga, on the edge of their seat or on the edge of their carpets.
Punat lif ditekan berkali-kali seolah-olah itu boleh membuatkan lif sampai dengan lebih cepat. Ferodok gelisah. "Apa punya lif ni?! Lambat betul!". Di benak hatinya Ferodok mengagak bahawa lif ini dibina oleh kroni kerajaan negara Asia Tenggara, itu pasal tak perform.
Ting.
Ferodok terus melompat ke dalam lif. Punat berlabel 'Bilik Kawalan' ditekan. "Pintu akan ditutup, jauhkan diri dari pintu jauhkan diri dari pintu" kata satu suara bernada tegas. Ah! Aku nak cepat ni, dok bising apa, sudahlah tangga pun tak ada! Bisik Ferodok mengomel akan keadaan belon udara yang dipinjam itu. Lif menuju ke atas.
"Bilik Kawalan. Pintu akan dibuka, sila jauhkan diri dari bilik kawalan sila jauhkan diri dari bilik kawalan" tegas juga suaranya kali ini.
Ferodok bersedia, lari! Ferodok berlari secara terumbang-ambing ke arah panel bilik kawalan. Hampir saja dia terlanggar sebuah pasu setinggi 1.5 meter yang diletakkan betul-betul di tengah bilik kawalan itu. Ferodok sempat mengelak. Lantai bilik kawalan yang dibuat daripada kayu pokok Taman Negara Pagoh itu menjamin cengkaman kasut Ferodok untuk mengelakkan dia tergelincir.
"Celaka! Minyak habis!" jerit Ferodok sambil matanya membesar dan mulutnya ternganga. Kamera di-zoom-in ke arah muka Ferodok. Setitik dua penuh muncul di wajahnya. Terlihat akan jeragat di pipi kirinya. Rambutnya dibiar tanpa sebarang gel rambut.
Belon udara terus bergegar, Ferodok panik. Apa nak buat ni apa nak buat ni. Kelam-kabut perlakuan Ferodok berfikir mencari jalan penyelesaian, sekejap berpusing-pusing, sekejap terkinja-kinja, sekejap kaki ke atas kepala le tepi, sekajap bersujud.
Tiba-tiba beloj udara senyap, tidak lagi bergegar. Ferodok turut tersenyap. Dilihat ke cermin hadapan, dan mengurut dada. Nafas dihembus secara fuh, menandakan dia lega. Sejurus itu, kamera di-zoom-out keluar dengan begitu licik sambil sekejap gelap sekejap cerah. Planet Abahang kelihatan menandakan masuknya waktu Maghrib bagi kawasan Pelung, Hagendas, Dglmpts (disebut : Dglmpts), serta Kluang. Nyanyian Madona kembali dimainkan, kali ini bergenrekan nasyid kontemperari, diiringi ketukan drum secara manja oleh Ella.
Apa yang berlaku?
A. Belon udara tersangkut di satu tiang elektrik buatan Siemens.
B. Belon udara memasuki satu ruang mistik yang menyebabkan segala pergerakan mekanikalnya terhenti.
C. Belon udara mendarat di atas awan Sitrus betul-betul di sebelah sebuah awan gelap yang banyak petir dan halilintar.
D. Unikorn.
Hantarkan "ESOK AKU INGAT NAK BERBUKA PUASA DENGAN KUIH BUATAN NEGARA OCEANIA [PILIHAN JAWAPAN]" ke bombor telefon Leman yang menetap di perairan Afrika Timur.
Sepuluh ribu juta pemenang bertuah bakal memenangi sepasang kasut bertumit sederhana rekaan Jummuchuchu yang ditandatangani oleh Syarifah Poet, seorang penyanyi Jazz bertaraf Mukim yang berasal dari Houston.
No comments:
Post a Comment