Sunday, May 13, 2012

Tuan Punya Cincin ep4

Kreuk. Uk. Uk. Pintu dibuka perlahan-lahan. Sebuah kaki berbulu putih melangkah masuk. Kamera difokus ke arah batang kaki putih itu. Pang! Pintu terus ditolak keras. Kamera bergerak dari bawah kaki ke atas secara perlahan-lahan, mewujudkan suasana saspen. Belum pun sempat wajah pemilik kaki putih itu ditayangkan, skrin tiba-tiba gelap.


"Alejandro. Alejandro.." suara Lady Gaga kedengaran. Lagu Alejandro dimainkan secara kuat. Skrin masih gelap. Selang lima saat, lagu itu diperlahankan, dan babak episod lepas ditayangkan. Babak Ferodok dan Sang Goh Lum berjalan di atas sebuah bukit nan menghijau. Sekali-sekala wajah mereka di-zoom-in dan di-slowmotion-kan. Stok asam boi lupa dibeli, jadi surirumah bersanggul tinggi itu sekadar mengunyah chewing gum yang ada tatoo tipu di bahagian dalam pembalutnya. Belon ditiup. Pup! Belon chewing gum pecah lalu melekat di bibir surirumah yang merah itu. Dinganga luas-luas lalu dijilatnya chewing gum yang melekat di bibir. Sambung kunyah dengan gigi geraham belah kiri.


Skrin kembali gelap. Babak pintu dibuka perlahan-lahan sekali lagi diulang. Ada hati penonton yang menyumpah-nyumpah kerana tak sanggup menahan suasana saspen yang berlanjutan. Kreuk. Uk. Uk. Kaki bulu putih. Kamera naik secara perlahan-lahan ke arah muka. Kamera sampai ke bahagian tengkuk, yang juga berbulu putih. Kamera terhenti di situ.


Wajah Ferodok dan Sang Goh Lum kini tiba-tiba difokus. Ferodok ternganga kerana tidak menyangka wajah itu yang akan dilihat disebalik pintu. Sang Goh Lum hanya mampu memejamkan mata serta mengetip gigi kuat-kuat, dia terlalu takut. Ferodok masih ternganga. Matanya dibeliakkan secara perlahan-lahan. Kumis serta janggutnya terpampang di kaca televisyen. Apa?! Bisik hari Ferodok.


"Hai Ferodok." kata lembaga berbulu putih itu.


Wajah lembaga itu masih lagi misteri kepada penonton. Surirumah sedang mengunyah chewing gum yang kedua kerana yang pertama tadi dia tertelan sebab disangkakan tengah makan dodol. Pembalut chewing gum kedua disertai dengan tatoo tipu berupa sebuah kereta tempatan, Proton Prevé.


"Kau? Apa kau buat kat sini?" soal Ferodok kepada lembaga itu.


"Apa aku buat kat sini? Kau yang masuk kawasan aku. Kau tanya apa aku buat kat sini?" balas lembaga itu. Sang Goh Lum masih ketakutan, masih menutup rapat matanya. Gigi masih juga diketip kuat.


"Kawasan kau? Mana la aku tahu. Sang Goh Lum ni yang bawak aku ke sini." kata Ferodok sambil menjerit ke arah Sang Goh Lum.


"Oh yeke? La kenapa tak cakap awal-awal tadi? Aku ingatkan korang nak samun rumah aku."


Lantas lembaga putih itu yang masih lagi misteri kepada para penonton membuka ikatan yang mengikat tangan Ferodok dan Sang Goh Lum. Bahagian wajah lembaga itu masih lagi tidak ditayangkan kepada penonton. Tambah lagi hati penonton yang menyumpah sambil berkata, "Babilah siapa lembaga putih misteri ini? *buat belon guna chewing gum*"


Skrin digelapkan. Tukar ke babak lain. Lagu "Joget Angan Tak Sudah" dimainkan. Babak kali ini dilakonkan di ruang tamu. Ada meja kat tengah-tengah lepas tu ada tiga bijik sofa keliling meja. Ferodok duduk di salah satu sofa. Lembaga putih duduk di sofa bertentangan dengan Ferodok. Sementara Sang Goh Lum keluar ke halaman rumah untuk bermain di bawah pepohon kopi.


"Lama dah ke kau pindah sini Bee?" ujar Ferodok sambil mencicah sekeping biskut Hup Seng ke dalam secawan kopi yang dibancuh lembaga itu.


"Hmmm. Baru je. Tak sampai setahun pun. Sebenarnya ni rumah arwah nenek aku."


"Oo. Eh apa jadi dengan pasukan kau yang dulu tu?"


"........diorang tinggalkan aku dah. Sebab diorang cakap tak sesuai kalau lima orang, macam Power Rangers. Lagipun badan aku tak kaler-kaler macam diorang berempat." kata lembaga putih sambil menghirup kopi yang dibancuhnya. Sedap juga, masuk bakul angkat sendiri.


"Oo. Takpelah. Tanpa diorang pun kau boleh hidup jugak."


Saat yang dinanti-nantika tiba. Wajah lembaga putih itu terpampang di kaca tv! Hoh! Terkujat semua penonton di rumah serta di studio! Teletabis putih!! Comel! Chewing gum kedua tertelan jugak sebab terkujat. Kisah sejarah pasukan teletabis sebenarnya hanya diketahui segelintir orang.


Selain Tinky Winky, Dipsy, Laa-Laa dan Po, sebenarnya terdapat seorang lagi ahli pasukan iaitu Chom-Bee. Chom-Bee adalah teletabis baka albino, berbeza dari ahli pasukan teletabis yang lain yang kaler ungu, kuning, merah serta hijau. Alasan itu dipakai untuk menggugurkan Chom-Bee dari pasukan teletabis. Jadi membawalah diri Chom-Bee ke hutan ini untuk menetap di rumah arwah neneknya, Nek-Hang. Nek-Hang pun albino jugak. Sekian flashback cerita asal-usul Chom-Bee.


"Sedap kopi ni kau bancuh Bee."


"Tanam sendiri ni."


"Oh ye? Kau pakai baja apa?"


"Najis unikorn."


Tersembur keluar kopi dari hidung Ferodok. Cis! "Hmm, patutlah sedap" ujar Ferodok cuba menjaga hati tuan rumah. Adat orang Melayu kena jaga hati tuan rumah.


"Kau jalan dengan Sang Goh Lum tu nak pergi mana sebenarnya?" soal Chom-Bee sambil menuding ibu jari kaki ke arah Sang Goh Lum di halaman rumah.


"Aku nak cari member aku. Kau ingat tak Samsul member aku masa kecik-kecik kita selalu main acilot-at-at kat kampung dulu?"


"Samsul? Yang gemuk-gemuk tu?"


"Haah."


"Yang muka macam tenuk tu?"


"Haah."


"Yang malas mandi bau macam kerbau tu?"


"....haah."


"Yang suka berak belakang semak lepas tu di-"


"Ye ye, Samsul tu la, mana ada Samsul lain lagi." potong Ferodok cuba menghentikan penghinaan Chom-Bee terhadap rakan baiknya Samsul.


"Oh. Dia pergi mana?"


"Dia hilang masa tengah berak dua hari lepas. Sang Goh Lum cakap dia kena culik dengan penunggang unikorn hitam yang laju tu. Aku nak pergi cari dia la ni."


"Oh ye? Hmm. Aku bukan suka sangat dengan Samsul tu, busuk macam kerbau, ketiak bau hamis. Tapi kalau kau nak pergi tempat penunggang tu, kau perlukan bantuan aku."


"Hah?"


"Nah." ujar Chom-Bee sambil menghulurkan anak kunci kepada Ferodok.


"Apa ni?"


"Itu kunci belon udara aku. Laju la jugak. Kalau kau naik belon udara ni, cepat la sikit sampai."


Ferodok terus memeluk Chom-Bee sambil menangis. Terdengar lemah akan bisikan "Thank you" dari Ferodok ke Chom-Bee. Chom-Bee kekok. Hek eleh tak payahlah emosional sangat, aku ada lagi lima belas belon udara tu, setakat aku kasi satu, tak luak pun, bisik hati Chom-Bee si teletabis albino itu. Berlagak benar padahal belon-belon udara tu belum habis bayar pun. Bank pun dok cari Chom-Bee.


Setelah sesi berpeluk serta emosional tak tentu pasal, Ferodok memanggil menjerit Sang Goh Lum yang sedang asyik bermain di bawah pohon kopi milik Chom-Bee. Yep, bermain dengan baja najis unikorn. Sempat jugak dia bungkus dalam plastik sikit taik unikorn tu, tapi kantoi dengan Ferodok lalu dilempar ke dalam sungai bersebelahan rumah Chom-Bee.


Lepas ucap selamat tinggal sayonara godspeed bon voyage kepada Chom-Bee, mereka berdua pun lalu berlepas naik belon panas. Dalam misi menyelamatkan Samsul, dalam misi agar percutian ke Lembah Menggelegak blup-blup dapat direalisasikan.


"Babai Bah-Bee!!" ujar Sang Goh Lum sambil melambai secara spastik ke arah Chom-Bee yang berada di halaman rumahnya.


"CHOM-BEE LAH BANGANG!! BUKAN BAH-BEE!!" tengking Ferodok kepada Sang Goh Lum sambil menyiku kepala hotak Sang Goh Lum.


Sang Goh Lum hanya mampu kepeningan. Kesian. Sikit-sikit kena buli dengan Ferodok. Belon udara itu terbang menghala ke arah Barat, mengikut arah tujuan yang diberikan Sang Goh Lum. Makin lama makin tinggu makin lama makin tinggi sampaikan Chom-Bee hanya jadi sebesar taik hidung di mata mereka berdua.


Panorama akan keindahan Taman Negara Trinidad dan Tobago disajikan kepada penonton. Kali ni tak tertelan chewing gum dah. Serentak itu lagu "Mari Melawat Trinidad dan Tobago" sempena tahun melawat negara matahari tak timbul itu kedengaran di latar belakang. Lantas kamera pun di-zoom-out sehinggakan ternampak Planet Jangguih menandakan masuk waktu Maghrib bagi kawasan Tunjang dan yang sewaktu dengannya iaitu Sungai Jambu, Parit Gagak, Auxelira serta Gangliosida.


Hantarkan komen anda (tidak lebih dari 90 aksara) ke 82910 sekarang! Pemenang bertuah akan memenangi tiga buah novel hasil tulisan Nor Zukir bin Lamlam iaitu "Suatu Sore di Kodiang", "Kutampar Mukamu" dan "Eh eh Kau Jangan Cari Pasal."!! Hadiah adalah sumbangan Syarikat Buku Mohandran.

No comments: