"...jangan lupa bawa moga-moga belum tamat tem.." Berkumandang sudah lagu tema cerita murahan yang menjadi bualan surirumah-surirumah serta remaja-remaja yang bakal menduduki SPM bulan hadapan. Asam boi! Asam boi masih di dalam peti ais! Sepantas kilat kaki surirumah yang bersanggul tinggi itu melangkah ke peti ais yang terletak bersebelahan dapur cap Singer, pintu peti ais direntap, mata meliar mencari plastik putih, plastik putih dicapai, pintu peti ais dihempas! Dapat! Asam boi!
Macam biasa, babak-babak menarik dari episod lepas ditayangkan. Gambar Ferodok, gambar Sang Goh Lum serta gambar Samsul. Lagu Bawaku Pergi masih dimainkan di latar belakang, entah mengapa lagu ini dipilih sebagai lagu tema, sedangkan tak masuk langsung dengan jalan cerita, maklumlah asalkan lagu tu tengah meletup pasti dijadikan lagu tema biarpun temanya adalah kisah percintaan antara kuda laut dan badak tetapi lagu temanya adalah "Ghazal Untuk Rabiah" nyanyian M Nasir dan Jamal Apaapasahajalah.
Mengikut episod lepas, Ferodok dan Sang Goh Lum telah memulakan pengembaraan mencari Samsul yang diculik ketika berak. Entah sempat basuh atau tidak semasa diculik, itu tidak diterangkan kepada penonton. Terpulang kepada penonton untuk menilai.
Sang Goh Lum melompat-lompat kegirangan seperti teletabis di atas bukit hijau sambil mengejar-ngejar beberapa ekor lalat yang terbang menyebulunginya. Seronok sungguh Sang Goh Lum, sentiasa ceria. Ferodok mengikut dari belakang sambil menggalas sebuah beg yang besar gajah. Dia kelihatan penat. Panorama alam yang hijau ditayangkan kepada penonton, lokasi pengambaran di Kepulauan Mauritius mungkin, paling tidak pun mungkin di Taman Negara Tirinidad dan Tobago. Serba kehijauan.
"Jauh lagi ke Sang Goh Lum?" soal Ferodok tanpa was-was.
"Dah tak jauh tuan! Lagi sebulan sampai tuan baik tuan baik tuan!" jawab Sang Goh Lum, juga tanpa was-was.
"SEBULAN? You must be kidding me man! Oh man!" Ferodok membalas.
"Sebulan tu tak lama tuan. Kejap je. Kalau tuan nak tahu, sebulan tu pejam celik pejam celik je tuan!" Sang Goh Lum. Yakin. Masih terkejar-kejar beberapa ekor lalat sambil skipping.
"Kepala hotak kau pejam celik peja-"
Skrin digelapkan, tak sempat pun Ferodok nak habiskan ayat "pejam" kat atas. Gambar di skrin dicondongkan sembilan puluh darjah, agak kabur, dan berkelip-kelip. Gambaran dari mata seseorang yang sedang bangun dari tidur atau koma atau pengsan, dengan keadaan kepalanya dalam posisi berbaring di sisi.
Skrin bertukar. Kepala Ferodok yang terbaring di sisi menutup penuh skrin televisyen. Jerawat yang tampak jelas di dalam episod lalu sudah hilang, mekap artis melakukan kerja dengan baik, itupun setelah ditengking oleh pengarah yang super bengis. Ferodok cuba berkata-kata, namun suaranya lemah. Entah di mana dia berada, entah hari ini hari apa, entah sekarang jam berapa, Ferodok langsung tak ingat.
"Ergh....kat mana aku ni...?" dengar jugak la sikit-sikit suara Ferodok.
"Tuan....tuan dah bangun tuan?" Sang Goh Lum duduk di sebelah Ferodok, dengan tangannya di belakang, diikat mungkin, takkan tengah menggaru jubor pula, itukan tak sopan ditontonkan kepada penonton yang mengunyah asam boi?
"Tak. Aku tengah tidur ni...SAH-SAHLAH AKU DAH BANGUN BANGANG!! KITA KAT MANA NI BAHALOL!!" ujar Ferodok. Tangan ke dada. Mata ke atas. Hidung ke kanan. Jubor ke bawah. Serta kaki hentak-hentak.
"...kita kena kidnap tuan. Sang Goh Lum rasa Ahli Sifir Putih dengan geng dia kidnap kita tuan."
"AHLI SIFIR PUTIH AND THE GANG?!" jerit Ferodok sambil bangun duduk dan bersandar di dinding. Tangannya juga di belakang. Juga bukan menggaru jubor. Hanya diikat oleh penculik.
Secara tiba-tiba, lagu "Susun Silang Kata" nyanyian Aizat dimainkan. Secara separa full volume. Saspen. Asam boi. Dikunyah. Bunyi tapak kaki derap-derup juga kedengaran. Lebih kuat dari lagu Aizat. Tambah saspen. Tambah asam boi. Dikunyah. Wajah Ferodok dan Sang Goh Lum yang sedang saspen mendengarkan bunyi tapak kaki di-zoom-in secara bergilir-gilir, dengan teknik kamera sinetron.
Bunyi tapak kaki terhenti. Lagu Aizat yang tak berapa nak sedap itu pun terhenti. Suasana sunyi. Sepi. Bunyi cengkerik. Bunyi anak kunci yang dimasukkan ke dalam lubang kunci kedengaran. Anak kunci dipusing. Pintu bilik yang dijadikan tempat mengurung Ferodok dan Sang Goh Lum dibuka. Secara. Perlahan. Lahan. Lahan. Lahan. Bunyi kreuk hasil bukaan perlahan-lahan pintu itu dimainkan secara kuat nak mampus dan kamera pun zoom-out dengan laju gila babi sampaikan planet Cqydk terpampang di skrin menandakan waktu Maghrib dah masuk bagi kawasan Pulau Kentut Kecil dan kawasan yang seaktu dengannya (Pulau Kentut Besar dan Pulau Kentut Tapi Taknak Mengaku Dia Kentut Lepas Tu Dia Tuduh Orang Lain Kentut (Pulau KTTMDKLTDTOLK)). Keluarlah Amy Search ke kaca televisyen bagi mem-bang-kan azan Maghrib.
Siapakah yang menculik Ferodok dan Sang Goh Lum?
A. Unikorn putih yang ingin membalas dendam akan kekejian Sang Goh Lum yang gemar bermain dengan najisnya.
B. Hantu Pocong putih yang sudah bosan berlakon drama Amukan Pocong sebab dah berapa episod dah dia dok mengamuk sampai dia pun naik bosan lalu dia tukar angin berlakon cerita lain pulak.
C. Tok Janggut.
D. Ahli pasukan teletabis yang baru. Yang berpakaian serba putih.
Taip "MUKA KAU BURUK MACAM LORI TAPAK PEMBINAAN RUMAH TERES BERTARAF SEDERHANA [pilihan jawapan]" dan hantarkan ke nombor telefon kau sendiri. Pemenang bertuah akan memenangi sembilan belas tiket ke funfair Taman Bangku Sekolah tajaan Encik Maarof bin Bohran.
No comments:
Post a Comment