Tuesday, April 24, 2012

Tuan Punya Cincin ep2

"Samsul!". Bunyi bisikan hati Ferodok yang dimainkan secara full volume ganda dua kedengaran di corong televisyen yang super nipis itu. Sesaat sesudah itu rangkuman episod minggu lepas dimainkan, babak Sang Goh Lum mencucuk najis unikorn, babak Samsul mengorek pusat serta babak Ferodok bersin ditayangkan untuk mengingatkan penonton yang mungkin sudah lupa akan kisah episod lepas. Skrin kembali gelap. Musik berunsur saspen dimainkan. Lagu Bawaku Pergi nyanyian Zizan dan Kaka.


Skrin dicerahkan secara perlahan-lahan sambil muka Ferodok yang sedang menjerit di-zoom-in sehingga terpancar seketul jerawat berwarna merah yang tidak berjaya disembunyikan oleh mekap artis. "Samsul!", suara bisikan Ferodok itu dimainkan sekali lagi, bertujuan membangkitkan lagi rasa saspen dan ingin tahu para penonton yang kusyuk mengunyah asam boi di depan kaca televisyen masing-masing.


Kali ini wajah Sang Goh Lum pula di-zoom-in. Biarpun wajahnya buruk mengalahkan sebuah jamban rumah setinggan, kamera berhempas-pulas meng-zoom-in wajahnya. Asam boi masih dikunyah. Penonton masih saspen. Barangkali sudah ada dua tiga yang diserang sakit jantung akibat tekanan saspen yang melampau. Sang Goh Lum sudah tidak lagi mencucuk najis unikorn yang di hadapannya itu. Perhatiannya teralih ke arah suara jeritan Samsul dari sebalik semak yang dijadikan jamban bergeraknya itu. Malangnya najis unikorn tersebut tidak di-zoom-in. Jikalau tidak sudah pasti penonton akan teruja dan terkesima akan keindahan panorama najis haiwan lagenda itu.


Ferodok terus berlari ke sebalik semak. Bau kentang putar yang berlegar- legar di udara tidak dihiraukan. Talian persahabatan yang sudah lama terikat menjadi semangatnya. Bermainlah lagu Gemuruh nyanyian Faizal Tahir di latar belakang. Babak di-edit menjadi slow motion. Larian Ferodok diperlahankan oleh juruedit. Selang setengah minit berlari secara perlahan, Ferodok akhirnya tiba di sebalik semak. Sang Goh Lum tidak berganja dari najis unikorn itu, mungkin kerana tidak kisah akan kemaslahatan Samsul yang sering memberi layanan buruk terhadap dirinya.


"Samsul!! Samsul!! Ha yu worait Samsul my fren?!" jerit Ferodok pabila sudah tiba di lokasi semak. Sambil mengibas semak-samun tersebut dengan tangannya. "Samsul!!" jerit Ferodok kali kedua setelah jeritan pertama tidak berjawab umpama layang-layang diputuskan talinya.


"Hah?!" dengus Ferodok kehairanan. Bukan setakat batang hidung Samsul yang tidak kelihatan, malah segala jenis batang kepunyaan Samsul juga tiada dalam bayangan. "SAMSUL!!" jerit Ferodok buat kali ketiga, hat-trick jika di dalam padang bola sepak. Hampa. Tidak berjawab. Sedang mata Ferodok meliar dan hidungnya mengikut bau kentang putar hasil nukilan Samsul, tiba-tiba muncul Sang Goh Lum dari arah belakang Ferodok. Terkejut, hampir terkentut Ferodok.


"Tuan. I faun dis Tuan!" bisik Sang Goh Lum dengan nada suara yang rendah serta tebal, bak suara Nasir Bilal Khan. Di tangannya, kasut jenama Nike berwarna hijau gelap kepunyaan Samsul.


"Kau jumpa kat mana?!!" soal Ferodok dengan cemas. Kaget.


"Tu." jawab Sang Goh Lum sambil menuding ibu jarinya ke arah suatu sudut di semak itu. Sopan.


Seraya berlari Ferodok ke situ. Namun langkahnya terhenti akibat bau kentang putar yang terlalu sengit. Hidungnya tidak mampu menahan akan keperitan bau itu. Jelas, di situlah Samsul berada sebentar tadi kerana terdapat sebukit kecil tinja Samsul. Segar. Tidak terusik. Tidak ditimbus. Tidak di-zoom-in. Samsul tidak kelihatan.


"SAMSUL!!" jerit Ferodok sekali lagi. Nafas Ferodok makin keras, makin singkat. Segala marabahaya yang mungkin menimpa Samsul terbayang di kepala Ferodok. Rakan karibnya sudah hilang!


"Tuan...jangan risau tuan. Sang Goh Lum tahu ini kerja siapa. Samsul bukanlah sasaran mereka." ujar Sang Goh Lum, dengan suara Nasir Bilal Khan, sambil mengusap-usap bahu serta buku lali Ferodok.


"Ini semua salah aku Sang Goh Lum!! Aku tahu aku sasaran mereka! Kita kena cari Samsul, itu kawan baik aku!" balas Ferodok sambil menepis tangan Sang Goh Lum jauh-jauh kerana tangan itulah yang mencucuk-cucuk najis unikorn. Disgusting.


"Sang Goh Lum tahu di mana mereka membawa Samsul tuan. Mereka mungkin sudah tujuh hari di depan kita memandankan mereka menunggang unikorn hitam yang berkelajuan sembilan batu notika sejam."


Ferodok sudah memulakan langkah ke arah tepi sungai tempat mereka berehat dan mengemas segala khemah, kasut, baju dan kuali. Perbuatannya tangkas, tidak mahu membuang masa dengan lebih lama. Samsul harus diselamatkan. Dengan pantas! Pronto! ASAP!


"Kau bawa aku ke sana!! Cepat!!" jerit Ferodok. Urat kepalanya terpampang di kaca televisyen. Menandakan dia serius. Asam boi masih dikunyah penonton.


"Tuan baik tuan baik tuan!" balas Sang Goh Lum sambil melakukan aksi seorang Lans Korporal terhadap seorang Sarjan. Menabik di kepala dan menghentakkan kaki dua kali, dimulakan dengan kaki kiri dan dituruti dengan kaki kanan.


"Tak payahlah bawak taik unikorn tu!!" jerit Ferodok kepada Sang Goh Lum yang sedang membungkus najis unikorn itu. Terlalu obses.


"Tapi tuan..."


"AKU CAKAP TAK PAYAH!!" Ferodok berkeras. "Banyak lagi kat tengah jalan tu ha!!"


".....tuan baik tuan baik tuan." pasrah Sang Goh Lum.


Rancangan mahu bercuti di Lembah Api Menggelegak blup-blup terpaksa dilupakan. Lagipun segala pembayaran chalet dan kereta sewa di sana adalah di atas kad kredit Samsul, kalau pergi pun nak bermalam di mana? Ferodok bukannya ada duit.


Maka bermulalah ekspedisi menyelamatkan Samsul. Entah mengapa hati Ferodok seakan tidak sedap. Somehing fishy. Teringat akan kata-kata Samsul tentang kepercayaannya terhadap Sang Goh Lum. Namun, Sang Goh Lum sahajalah harapannya untuk bertemu dengan Samsul. Ironi. Harapannya, Samsul masih hidup.


"KAU BUAT APA LAGI TU!! CEPAT LA!!" jerit Ferodok pabila terlihatkan Sang Goh Lum sedang bercakap-cakap dengan najis unikorn yang menjadi kegilaannya itu.


"Ucap selamat tinggal tuan seb-"


"TAK PAYAH!!!"


"....tuan baik tuan baik tuan." akur Sang Goh Lum. Dahlah nak bungkus tak kasi, nak ucap selamat tinggal pun tak boleh? Kasihan Sang Goh Lum.


Sang Goh Lum terus memimpin tangan Ferodok namun ditepis secara refleka olehnya lalu kamera pun zoom-out dengan laju sehinggakan ternampak planet Zuhal yang berkelipan menandakan masuknya sekali lagi waktu Maghrib bagi kawasan Kupang dan yang sewaktu dengannya padahal Kupang tu dia sorang je dalam kawasan yang sewaktu dengannya.


Siapa yang menculik Samsul yang sedang berak itu?


A. Majlis Perbandaran Kuala Lipis kerana Samsul buang di merata tempat.


B. Jabatan Kebajikan Masyarakat Klang kerana Samsul adalah orang gila yang tidak waras dah gila tak waras pula tu.


C. Samsul diculik sepasukan Teletubbies yang kekurangan ahli pasukan.


D. Samsul diculik oleh ibu saudaranya iaitu Makcik Rogayah binti Rosman yang iri hati akan bapak Samsul iaitu Latip bin Rosman yang kaya nak mampus tapi bila adik-beradik mintak tolong dia takmau tolong jadi anaknya diculik sebagai tebusan.


Taip "TAIK UNIKORN ITU BERWARNA PELANGI DAN MENGANDUNGI ZAT-ZAT SERTA TAURINA DAN VITAMIN [PILIHAN JAWAPAN]" dan hantarkan ke nombor telefon Jabatan Bomba dan Penyelamat daerah Parit Buntar. Pemenang bertuah akan memenangi lima keping tiket cerita "Jandaku Lari Bersama Mat Bangla" tajaan Doktor Berambut Cendawan*.


*tertakluk kepada terma dan syarat.




1 comment:

Tea said...

Ko ni kelakar lahhh.. Dahlah bhs klasik sungguh aku nak paham..