Friday, July 12, 2013

Kisah bas awam

Lepas kelas itu hari, aku ikut geng aku sorang ni pergi rumah dia. Abah dia baru beli game tv. Hari-hari dia dok sembang dalam kelas, hari-hari juga lah aku terkebil-kebil membayangkan powernya game dia ni.


"Abah aku kerja bawak lori, setakat game tv ni, tak luak pun gaji diaaaaa"


Sampaikan satu tahap aku mempunyai cita-cita mahu jadi bawak lori sebab nak beli game tv. Dari sekolah, aku dengan dia naik satu bas awam. Tambang lima kupang. Bas awam kayu kaler kuning hijau. Rumah dia kat Taman Mesra kalau tak silap, rumah aku kat Taman Bagan. Jauh sikit.


Lama juga aku hang out dekat rumah dia main game tv. Seronok betul. Masa main game tv tu memang aku dah bertekad nak jadi bawak lori. Siap aku terbayang nak lekat apa kat cermin depan lori aku.


Bila dah sampai petang, masa untuk aku chow. Aku periksa kocek aku, fuh, ada baki lima kupang. Tambang dari rumah dia ke rumah aku tak sampai lima kupang. Belen tu boleh aku beli cekedis. Tapi aku menyedari satu masalah. Aku tak pandai naik bas awam. Tadi pun aku naik dengan geng aku, berdua.


Lama juga aku fikir penyelesaian kepada masalah aku tu. Nak naik sorang, aku takut. Nak naik berdua, aku nak naik dengan siapa? Last-last, aku jumpa satu solusyen. Nak berjalan balik aku tak tahu nak follow jalan mana.


Aku get ready kat pondok bas. Bila nampak bas datang, aku buat-buat senyap. Elok je bas tu dah berlalu pergi sikit, aku oyomak geset go!


Aku berlari dari rumah geng aku, ke rumah aku, ikut belakang bas. Jauhnya ada la dalam kira-kira setengah jam perjalanan sambil berlari. Elok sampai ke rumah aku, aku rasa macam ahli sokan.


"Ni baju sekolah peluh-peluh ni pasaipa?! Hang pi mana?!"


Aku mampu sengih je dengan soalan mak aku, sambil makan keropok durian dua kupang, dan baki tiga kupang lagi dalam kocek aku. Esoknya geng aku ajak lagi hang out main game tv kat rumah dia. Selamba aku jawab "Aku ada kelas mengaji satgi".

No comments: