Tuesday, July 23, 2013

Apa Nak Dikata

Mata aku terpandang akan satu gerai kecil. Kedai jual bunga. Bukan mudah nak jumpa kedai jual bunga segar di tepi pantai. Dari jauh, hati aku berkata, aku kena pergi kedai bunga tersebut. Tanpa sebarang sebab, ikut kata hati atau mungkin aku ditakdirkan pergi situ, kaki aku melangkah akur.


Mata aku terpaku, putaran masa seolah berhenti, bunyi deruan ombak menjadi berganda merdu, sinaran matahari seolah pancaran dari syurga. Degupan jantung tak semena-mena berlari kuat, seperti mahu luruh jantung ini. Yang jual bunga di kedai bunga itu, tak pernah aku melihat ciptaan Tuhan secantik itu. Sesusuk tubuh yang cantik molek, rambut dilepas bebas kebawah paras bawah sedikit dari bahu.


Senyuman pertama yang dilemparkan kepada aku adalah senyuman bidadari. Manis umpama bulan. Jantung aku yang tadinya berlari kencang, kini seolah mahu gugur ke Bumi lalu disalut pepasir pantai. Aku membalas senyuman, namun sudah terlambat kerana cek mek molek itu sudah beralih kepada pelanggan kedai yang lain. Aku senyum sendirian sambil mata mengikut pergerakan bidadari kedai bunga itu.


Malam itu aku tak dapat tidur. Aku tekad esok mahu ke kedai bunga itu lagi. Siapa yang hatinya tak tertawan, dia pasti buta.


"Accident. Dekat simpang jalan depan bengkel motosikal." kata seorang budak perempuan.


Aku terkedu. Lesu. Badan aku menggeletar. Jantung aku seolah hari semalam, mahu gugur ke pantai terus terbenam ke dalam pepasir, atas sebab yang berlainan. Aku termenung.


Duduk bersendirian, aku berfikir. Jika takdir cek mek molek kedai bungai itu bukan begitu, sudikah dia menerimaku yang macam ini saja? Jika dia kuibaratkan seperti emas dan permata, di matanya aku diibaratkan apa? Aku mengeluh, jawapan kepada persoalan-persoalan yang bermain sudah tentu aku tidak akan tahu jawapannya.


Aku menoleh memandang sepi kedai bunga sang bidadari. Sunyi. Sepi. Deruan ombak turut menyanyikan irama pilu. Sinaran matahari juga malas memancar, meratapi pemergian bidadari.


Senyum sendirian, aku memandang langit, sekejap lagi bulan muncul. Senyuman sang bidadari akan terukir semanis bulan di langit gelap.


No comments: