Saturday, July 27, 2013

Kisah nasyid jamban

Itu hari, ada pertandingan nasyid. Sekolah aku macam biasa sibuk-sibuk jugak nak masuk. Aku pergi odisyen nasyid tu saje-saje jeee, tak sangka aku ada bakat ke arah nasyid. Kami pun digabungkan dalam satu kumpolan yang rata-ratanya pemuda sekolah rendah berbakat besar. Bilangan geng nasyid kami pada mulanya sejumlah lebih kurang kumpolan Rabbani. Ramai.


Satu hari, sedang kami berlatih vokal melalui satu lagu nasyid yang aku tak berapa ingat tajuknya, cikgu kami mendapat satu idea yang sia-sia.


"Hampa ni ramai sangat, kena buang soghang dia. Apa kata kita prektis depan senior hampa?"


Lalu berjalanlah geng nasyid pemuda harapan bangsa ke ke kelas brader-brader darjah lima. Perut aku tak berapa sedap dah masa tu. Masuk kelas senior, aku jalan tunduk, hormat senior. Berbaris depan papanhitam ramai-ramai, tunggu isyarat dari cikgu untuk melaungkan nasyid.


Perut aku lagi sakit dari tadi. Serta-merta aku angkat tangan panggil cikgu aku tadi. Aku bisik kat telinga beliau cakap aku nak tarik diri. Lepas tu aku terus blah menuju ke tandas dalam keadaan terkemut-kemut.


Bila aku fikir balik, kalau tidak disebabkan sakit perut hendak berak masa tu, mungkin aku dah jadi penyanyi nasyid komtemperari di bawah naungan KRU.

Friday, July 26, 2013

Kisah main bola ala samba

Geng aku dah ready, geng lawan pun dah ready. Perlawanan ini berlangsung di satu buah taman permainan, di mana ada ruang besar di tangah-tangah, buaian-buaian yang dibuat dari kayu belah kanan, jongkang-jongket spring belah kiri serta papan gelongsor plastik belah kiri bawah sikit.


Priiiiiit! Sepak mula!


Sebagai dua buah pasokan bola sepak amatur yang dianggotai rata-rata oleh pemuda sekolah rendah, kedua-dua geng mengamalkan corak permainan ala-ala samba Brazil, pesen position setiap pemain boleh berubah-ubah dalam usaha mengelirukan pihak lawan masing-masing. Strategi ini memang berhasil sampai kan kadang-kadang bukan sahaja pihak lawan yag keliru, pihak kawan pun turut keliru. Main secara hentam kromo. Yang penting, siapa dapat tendang bola paling banyak, dia paling power.


Sampai satu ketika di dalam babak permainan, aku berubah menjadi penyerang. Bola tampar (geng aku atau geng lawan tak cukup duit nak beli bola sepak buat main bola sepak, kami ambil keputusan guna bola tampar yang abah aku punya, kaler putih) disepak ke suatu sudut padang, belah kanan padang. Aku berlari kencang dalam usaha menendang bola, tak kisahlah ke mana pun, janji dapat tendang.


Setiba aku di situ, aku berkeseorangan, tiada pihak lawan yang mencabar, aku berbakat besar mungkin hingga tiada yang berani one-on-one dengan aku. Sekali...


Gedegang! Aku terpelanting kebelakang.


Esoknya, aku kena pergi buat cermin mata baru, sambil hidung aku senget sebelah. Bodo punya buaian dengan budak main buaian.

Thursday, July 25, 2013

Tips Untuk Kekal Bertenaga di Bulan Ramadhan Mak Ai Panjang Betul Tajuk

Rasa penat betul itu hari. Kalau diikutkan, aku baru mula berjinak-jinak dalam bahagian puasa di bulan puasa ni. Badan aku tak cukup familiar lagi dengan puasa-puasa. Sekitar tengahari aku dah ada dalam rumah, bosan sungguh.


Lepas tu aku dapat satu idea. Aku tukar baju, aku basuh kaki, aku gosok gigi, aku baca doa. Aku tidur sampai ke sejam lagi nak Maghrib.


Sejak dari hari itu, aku jarang miss tidur petang di bulan puasa. Tidur dia lain macam punya sedap.


Wednesday, July 24, 2013

Selari

Pagi itu Hameed bangun lambat sungguh. Betul-betul punya lambat. Kelas bermula jam 8, Hameed bangun pukul 9. Hameed berasa begitu bangga. Dari katil, Hameed terus lompat ke depan cermin dalam keadaan berbaju, berseluar panjang serta bertali leher.


Hameed tanggalkan satu persatu pakaiannya hinggalah dia berbogel tanpa seurat benang. Hameed capai topi besbolnya dan sarung ke kepala. Tanpa banyak cakap Hameed berjalan ke kelas.


Pukul 9 suku, Hameed sampai ke kelas. Sudah ramai yang ada di situ, hanya ada tiga empat pelajar yang sampai ke kelas betul-betul sama dengan Hameed. Pensyarah masih belum sampai. Di dalam kelas, hampir semua pelajar berbogel, cuma ada dua tiga kumpulan yang seksi memakai pakaian dalam ataupun yang lebih berani lagi, memakai baju ataupun seluar pendek.


Hameed geleng kepala. Tahu lah nak jadi seksi, pakai topi macam aku sudahlah, ini sampai pakai baju pakai seluar, tak tahu adab masuk kelas ke, bentak hati Hameed. Dahlah datang awal, ingat cool habislah tu datang ke kelas? Tambah Hameed sambil mencari tempat duduk kosong di dalam dewan kuliah.


Johan, rakan Hameed, melambai-lambai ke Hameed. Mengajak Hameed duduk di sebelahnya. Hameed berjalan ke arah Johan dan melabuhkan punggung ke tempat duduk disebelah Johan. Johan dan Hameed sama-sama tidak mandi pagi, sama-sama berbau hamis. Pelajar-pelajar di barisan hadapan mereka berbau wangi, Hameed dan Johan buat muka.


"Lambat kau sampai hari ni Meed".


"Biasalah, yang kau datang awal kenapa?"


"Itulah pasal, kalau mak aku tahu aku datang kelas awal, mau berminggu dia membebel ni"


"Haha."


"...kau ada tengok televisyen semalam?"


"Ada. Yang pasal dunia selari tu ke?"


"Haah. Logik ke kau rasa?"


"Entah, aku malas sangat berfikir. Kau rasa?"


"Tak logik. Sebabnya, kan dia cakap dalam tu, di dunia selari, semua benda akan bertentangan. Contohnya paling simple, kalau kat dunia kita ni, semua orang berbogel tak pakai baju, kat dunia selari yang lain, mesti semua orang pakai baju kan? Haha. Mesti best punya duduk situ. Hari-hari boleh usha makwe pakai baju."


"Haha."


"Tapi tu lah. Kalau betul dunia selari tu wujud. Kau tak rasa pelik ke Meed?"


"Apa yang pelik?"


"Yelah. Katakanlah. Katakanlah dunia selari ni betul-betul wujud. Dunia kita sekarang yang kita duduk ni wujud. Maknanya sekarang ada dua dunia, satu dunia kita, satu lagi dunia selari dimana semua benda bertentangan. Di dunia kita, kita tahu dunia selari itu wujud. Tapi di dunia selari yang satu lagi tu, dekat situ, penduduk dunia tu mesti yakin yang dunia selari tak wujud, sebab mereka bertentangan dengan kita. Paradoks. Kau faham tak?"


"Aku faham. Maknanya mustahil lah untuk wujud dua dunia secara serentak, dunia yanh kita tinggal, serta dunia yang selari? Macam tu?"


"Haah."


Serentak itu, Hameed dan Johan serta penduduk-penduduk yang lain mati dan dunia mereka berubah menjadi satu titik putih di mana segala kewujudan lesap dan hilang.

Tuesday, July 23, 2013

Apa Nak Dikata

Mata aku terpandang akan satu gerai kecil. Kedai jual bunga. Bukan mudah nak jumpa kedai jual bunga segar di tepi pantai. Dari jauh, hati aku berkata, aku kena pergi kedai bunga tersebut. Tanpa sebarang sebab, ikut kata hati atau mungkin aku ditakdirkan pergi situ, kaki aku melangkah akur.


Mata aku terpaku, putaran masa seolah berhenti, bunyi deruan ombak menjadi berganda merdu, sinaran matahari seolah pancaran dari syurga. Degupan jantung tak semena-mena berlari kuat, seperti mahu luruh jantung ini. Yang jual bunga di kedai bunga itu, tak pernah aku melihat ciptaan Tuhan secantik itu. Sesusuk tubuh yang cantik molek, rambut dilepas bebas kebawah paras bawah sedikit dari bahu.


Senyuman pertama yang dilemparkan kepada aku adalah senyuman bidadari. Manis umpama bulan. Jantung aku yang tadinya berlari kencang, kini seolah mahu gugur ke Bumi lalu disalut pepasir pantai. Aku membalas senyuman, namun sudah terlambat kerana cek mek molek itu sudah beralih kepada pelanggan kedai yang lain. Aku senyum sendirian sambil mata mengikut pergerakan bidadari kedai bunga itu.


Malam itu aku tak dapat tidur. Aku tekad esok mahu ke kedai bunga itu lagi. Siapa yang hatinya tak tertawan, dia pasti buta.


"Accident. Dekat simpang jalan depan bengkel motosikal." kata seorang budak perempuan.


Aku terkedu. Lesu. Badan aku menggeletar. Jantung aku seolah hari semalam, mahu gugur ke pantai terus terbenam ke dalam pepasir, atas sebab yang berlainan. Aku termenung.


Duduk bersendirian, aku berfikir. Jika takdir cek mek molek kedai bungai itu bukan begitu, sudikah dia menerimaku yang macam ini saja? Jika dia kuibaratkan seperti emas dan permata, di matanya aku diibaratkan apa? Aku mengeluh, jawapan kepada persoalan-persoalan yang bermain sudah tentu aku tidak akan tahu jawapannya.


Aku menoleh memandang sepi kedai bunga sang bidadari. Sunyi. Sepi. Deruan ombak turut menyanyikan irama pilu. Sinaran matahari juga malas memancar, meratapi pemergian bidadari.


Senyum sendirian, aku memandang langit, sekejap lagi bulan muncul. Senyuman sang bidadari akan terukir semanis bulan di langit gelap.


Kisah Iqra'

Yakin betul aku berjalan dengan geng tadika aku masa tu. Kami pakai seragam baju melayu, songkok hitam dengan iqra' masing-masing kat tangan. Aku bawak iqra' nombor satu sebab aku memang noob gila masa tu kalau bab baca Quran. Geng aku lagi dua orang dah jauh sikit, sorang Iqra' nombor tiga, sorang lagi nombor empat.


Lagipun geng aku yang dua orang tu tua dua tahun dari aku. Setelah didesak oleh emak aku, aku berkeyakinan untuk memulakan pengambaraan baca Quran. Dalam tengah berjalan menuju ke rumah ustaz yang ajar Iqra' tu, geng aku dua orang sibuk berbincang. Hal-hal berkaitan kegarangan serta disiplin yang tinggi oleh ustaz tersebut. Aku tak ingat nama ustaz tu, jadi aku bagi beliau nama Ustaz X.


Sebagai seorang yang noob, aku terus jadi kaget dan cemas akan kegarangan Ustaz X. Lalu aku ambil satu keputusan yang aku tidak pernah menyesal.


xxx


"Mak sughoh hang pi baca quran yang hang patah balik ghumah pasaipa?"


"Belum sampai seru lah mak. Rileks lah." jawab aku penuh konfiden.

Monday, July 22, 2013

Bayi yang comel dan tampan

Lewat tahun 80-an, satu emak sedang hang out di satu wad bersalin di satu buah hospital di kawasan Parit Buntar. Parit Buntar merupakan titik pertemuan di antara Pulau Pinang dan Perak, dan, penuh dengan sejarah seperti sebuah bot penuh dengan penumpang tenggelam di Sungai Kerian pada suatu masa dulu. Parit Buntar bakal menerima satu lagi sejarah pada lewat 80-an itu.


Seorang emak itu dijangka bersalin sudah lama. Due date beliau sudah terlepas kira-kira hampir sebulan. Para doktor serta jururawat di situ kaget serta bertanya sesama sendiri, "Pesakit tu bila nak beghanak? Anak dia takmau keluaq kooooot?". Sementara anak emak itu yang masih di dalam kandungan rilek-rilek lepak berpusing-pusing di dalam perut.


Satu abah pula saban hari datang menjenguk satu emak. Saban hari juga soalan yang sama dilontarkan, sampai naik jemu, "Satu emak tak beghanak lagi? Ketegaq anak dalam peghot tu!". Satu emak hanya mampu mengeluh sambil mengusap perut beliau.


Satu hari, doktor menyampaikan berita penting. Anak di dalam kandungan sebenarnya berada dalam keadaan songsang. Jika dilahirkan secara normal, anak tersebut berkemungkinan mati lemas. Operation belah perut terpaksa dijalankan keesokan harinya biarpun air ketuban masih belum pecah. Satu abah dan satu emak sugul.


Satu malam, betul-betul sebelum esoknya nak operate, satu makcik tua datang melawat anaknya di wad bersalin yang sama. Terlihat akan satu emak yang sugul menanti esok hari untuk dibelah perut. Mereka berborak. Makcik tua tersebut kemudian mengambil keputusan mengurut perut satu emak. Hendak dijadikan cerita, pukul 3 pagi, air ketuban satu emak pecah. Satu emak melahirkan satu anak, secara normal, langsung bukan dalam keadaan songsang, hasil urutan satu makcik tua tadi.


Satu abah datang melawat satu emak di wad bersalin.


Satu emak berkata, "Selamat hari jadi satu abah. Anak ketegaq tu, hadiah harijadi untuk satu abah. Bila besar, pasti satu anak itu menjadi kacak." Maka satu abah dan satu emak berketawa selama berjam-jam lamanya.


SELAMAT HARIJADI KEPADA ABAH. (susah sebenarnya harijadi sama, tak boleh pura-pura lupa harijadi abah sendiri)

Sunday, July 21, 2013

Monolog : Aku & Kucing #6

Kau buat apa tu?

-Aku tengah berfikir.

Kau fikir apa?

-Esok birthday kau kan?

Haah.

-...

Kau fikir apa? Macam serius je ni.

-Birthday aku bila?

Kucing mana ada birthday.

-Tipu lah. Takkan tak ada.

Betul.

-Tak logik.

Kucing macam ayam. Bertelur. Mana ada tarikh lahir.

-Oh.

...

-Weh.

Apa?

-...

Apa benda?

-Tarikh telur aku pun takkan tak ada juga?

Friday, July 19, 2013

Tuan Punya Cincin ep6

Setelah selesai menyaksikan Fahrin Ahmad menari sambil tersenyum aneh, skrin televisen nipis itu diam. Logo-logo syarikat penerbitan siri televisen yang makin naik namanya dipaparkan secara bergerak di skrin. Syarikat penerbitan yang terlibat adalah "Talibesen Produksi" yang memaparkan logo berupa seekor pelanduk, "Hameed Kerabu Mosyen" yang memaparkan logo seakan-akan permaidani, serta "Ini TVlah" yang memaparkan logo lelaki memancing di sebuah tasik lama sambil memegang sebuah televisen antik.


"...ramai yang tanya jadi handal apa petua bila keluar senget topi lodeh seluar..." lagu tema untuk episod ini dinyanyikan oleh Madona, diiringi oleh ketukan drum dari Ella. Semua penonton sudah mula berkumpul di hadapan televisen masing-masing, ada yang muda, ada yang tua, ada yang sudah kerja, ada yang belum kerja, ada yang pakai baju hitam, ada yang tak pakai baju hitam, ada yang tak pakai baju serta ada yang berkecimpung dalam politik.


Babak-babak dari episod akhir dimainkan, babak Ferodok serta Sang Goh Lum yang menarik-menarik. Babak di mana Ferodok sedang lincah mencampurkan rempah-rempah Adabi ke dalam periuk serta babak di mana Sang Goh Lum sedang conteng dinding. Babak terakhir yang dipasang adalah babak belon udara bergegar-gegar. Babak tersebut dimainkan secara slow-motion, dengan runut bunyi yang dipasang secara kuat sehingga 290 desibel. Para penonton nampaknya sudah tidak sabar untuk ambil tahu akan kisah berikutnya. Skrin digelapkan secara berhemah.


Ferodok hampir terjatuh, tetapi sempat membuat balik kuang dan mendarat di atas lantai dapur belon udara. Sang Goh Lum terhantuk ke dinding akibat gegaran yang maha hebat itu, dia pengsan di tempat kejadian. Sama ada dia hidup atau mati, itu tidak diberitahu kepada penonton, tetapi jika diteliti, kepala Sang Goh Lum langsung tiada darah. Kemungkinan besar dia masih hidup.


Setelah menstabilkan diri, Ferodok berlari ke arah bilik kawalan belon udara yang berpusat di tingkat atas. Dalam keadaan belon udara itu bergegar-gegar, Ferodok terpaksa berlari dengan berhati-hati serta terjongket-jongket. Dalam perjalanan, Ferodok terlihat akan Sang Goh Lum yang terbaring keenakan, Ferodok buat tidak peduli, dia harus ke bilik kawalan. Musik laju oleh suatu kugiran dari Selatan Marcedonia dimainkan. Mula-mula musik itu dimainkan secara perlahan, namun semakin lama semakin volume ditingkatkan. Penonton sekalian semua dalam keadaan berjaga-jaga, on the edge of their seat or on the edge of their carpets.


Punat lif ditekan berkali-kali seolah-olah itu boleh membuatkan lif sampai dengan lebih cepat. Ferodok gelisah. "Apa punya lif ni?! Lambat betul!". Di benak hatinya Ferodok mengagak bahawa lif ini dibina oleh kroni kerajaan negara Asia Tenggara, itu pasal tak perform.


Ting.


Ferodok terus melompat ke dalam lif. Punat berlabel 'Bilik Kawalan' ditekan. "Pintu akan ditutup, jauhkan diri dari pintu jauhkan diri dari pintu" kata satu suara bernada tegas. Ah! Aku nak cepat ni, dok bising apa, sudahlah tangga pun tak ada! Bisik Ferodok mengomel akan keadaan belon udara yang dipinjam itu. Lif menuju ke atas.


"Bilik Kawalan. Pintu akan dibuka, sila jauhkan diri dari bilik kawalan sila jauhkan diri dari bilik kawalan" tegas juga suaranya kali ini.


Ferodok bersedia, lari! Ferodok berlari secara terumbang-ambing ke arah panel bilik kawalan. Hampir saja dia terlanggar sebuah pasu setinggi 1.5 meter yang diletakkan betul-betul di tengah bilik kawalan itu. Ferodok sempat mengelak. Lantai bilik kawalan yang dibuat daripada kayu pokok Taman Negara Pagoh itu menjamin cengkaman kasut Ferodok untuk mengelakkan dia tergelincir.


"Celaka! Minyak habis!" jerit Ferodok sambil matanya membesar dan mulutnya ternganga. Kamera di-zoom-in ke arah muka Ferodok. Setitik dua penuh muncul di wajahnya. Terlihat akan jeragat di pipi kirinya. Rambutnya dibiar tanpa sebarang gel rambut.


Belon udara terus bergegar, Ferodok panik. Apa nak buat ni apa nak buat ni. Kelam-kabut perlakuan Ferodok berfikir mencari jalan penyelesaian, sekejap berpusing-pusing, sekejap terkinja-kinja, sekejap kaki ke atas kepala le tepi, sekajap bersujud.


Tiba-tiba beloj udara senyap, tidak lagi bergegar. Ferodok turut tersenyap. Dilihat ke cermin hadapan, dan mengurut dada. Nafas dihembus secara fuh, menandakan dia lega. Sejurus itu, kamera di-zoom-out keluar dengan begitu licik sambil sekejap gelap sekejap cerah. Planet Abahang kelihatan menandakan masuknya waktu Maghrib bagi kawasan Pelung, Hagendas, Dglmpts (disebut : Dglmpts), serta Kluang. Nyanyian Madona kembali dimainkan, kali ini bergenrekan nasyid kontemperari, diiringi ketukan drum secara manja oleh Ella.


Apa yang berlaku?


A. Belon udara tersangkut di satu tiang elektrik buatan Siemens.

B. Belon udara memasuki satu ruang mistik yang menyebabkan segala pergerakan mekanikalnya terhenti.

C. Belon udara mendarat di atas awan Sitrus betul-betul di sebelah sebuah awan gelap yang banyak petir dan halilintar.

D. Unikorn.


Hantarkan "ESOK AKU INGAT NAK BERBUKA PUASA DENGAN KUIH BUATAN NEGARA OCEANIA [PILIHAN JAWAPAN]" ke bombor telefon Leman yang menetap di perairan Afrika Timur.


Sepuluh ribu juta pemenang bertuah bakal memenangi sepasang kasut bertumit sederhana rekaan Jummuchuchu yang ditandatangani oleh Syarifah Poet, seorang penyanyi Jazz bertaraf Mukim yang berasal dari Houston.

Wednesday, July 17, 2013

Milo panas dan Badang

Aku tak boleh tidur ni. Bukan betul-betul tak boleh tidur, tapi aku tak boleh tidur malam, macam burung hantu, bila siang bukan main mengantuk. Salah juga ayat aku tadi tu, bukan tak BOLEH tidur malam tapi tak DAPAT tidur malam. Sebab tu aku tak berapa setuju dengan Milo. Malaysia Boleh konon, Malaysia Dapat yang betulnya.


Orang cakap Milo ni sedap. Aku tak suka Milo. Sebab lepas minum, mulut bau macam muntah, lepas tu rasa macam ada saki-baki muntah terlekat dekat kerongkong. Buat aku rasa nak muntah. Kot kalau aku boleh makan muntah aku dan jadi macam Badang takpa jugak.


Ini memberi aku satu idea. Milo. Minum Milo anda jadi sihat dan kuat. Muntah. Badang.


Aku yakin sangat-sangat yang Badang tu bukan makan muntah jin, tapi minum Milo panas.

Sunday, July 14, 2013

BISKUT PEANUT BUTTER! ORDER DEAR...

Sebagai persiapan menghadapi hari raya yang meriah dan penuh hebat, aku ada barang baik nak hasilkan.


BISKUT PEANUT BUTTER.


RM25/50 biji
RM40/100 biji


Itu hari aku ada cakap kat Twitter, tapi harga lain, ini harga yang betul-betul lepas kos pekerja, bahan mentah serta kos logistik diambil kira. Siapa nak order bolehlah order kat aku, hantar email ke komen kat bawah ni ke (letak nombor telefon, ruangan komen aku memang private so tak payah risau nombor telefon kau tersebar, tak pun melalui twitter).


Aku ambil order sampai puasa minggu ketiga. Kuih dihantar (PosLaju) seawal puasa minggu kedua, paling lewat puasa minggu kedua.


Siapa suka peanut butter, biskut ini sangat bagus, sedap, mengandungi vitamin kacang serta rendah kolestrol.

Iphone gaban

Hari Jumaat itu hari, lepas solat Jumaat, aku pergi satu pejabat pos. Nak ambil barang. Barang baik owh-ho, barang baik. Owh-ho.


Masa tengah tunggu brader kaunter pos tu ambil barang aku, ada la satu brader ni. Masuk pejabat pos dengan pegang iphone. Eleh, orang lain pun pakai telefon jugak, kecoh nak tayang iphone. Lepas tu tiba-tiba aku dengar suara transformers.


"You have a new text message, do you want to read your new text message." dalam full volume.


Inilah orang panggil attention-seeker tahap gaban. Sampai dua tiga kali pulak tu. Kecoh betul dengan iphone dia. Entah pergi solat Jumaat ke tak brader tu.


Kisah kerabat dinding

Aku selalu prektis panjat dinding dulu. Rasa seronok bukan main. Bila abah aku dan mak aku pergi kerja, bila adik aku keluar dengan geng dia, aku prektis.


Susah nak kuasai skill panjat dinding ni. Mula-mula kena cari satu ruang yang kecil sikit dari ukuran kangkangan kedua-dua belah kaki. Skill hebat ini dapat membantu menguatkan otot-otot kaki, betis, peha dan biseps.


Tak lupa juga skill ini dapat membantu mengelirukan pihak lawan. Dinding tinggi adalah tempat persembunyian yang bagus. Sambil hang out dekat dinding tinggi, aku boleh perhatikan pergerakan pihak musuh tanpa mereka menyedari kehadiran aku. Ninja!


Langkah kedua lepas jumpa dinding yang sesuai adalah kangkangkan kedua-dua kaki. Letak satu kaki di satu dinding, satu lagi kaki atas sikit dari kaki tadi di dinding yang satu lagi. Pelan-pelan, naikkan satu kaki selang-seli atas sikit dari kaki yang satu lagi. Kedua-dua tapak tangan berfungsi sebagai alat penyokong supaya tak jatuh ke bawah secara terbalik. Makin lama makin tinggi. Bila semakin tinggi di atas dinding, otot kaki kena jadi lagi kuat supaya tak slide ke bawah. Jika langkah ini diikut secara betul, tak mustahil untuk seorang darjah dua memegang siling rumah. Akhir sekali, aku akan kelihatan sebagai tapak sulaiman gergasi yang melekat di celahan dinding. Teknik penyamaran yang berkesan.


Sekarang aku tengah cari dinding yang sesuai untuk uji balik skill aku.

Friday, July 12, 2013

Kisah bas awam

Lepas kelas itu hari, aku ikut geng aku sorang ni pergi rumah dia. Abah dia baru beli game tv. Hari-hari dia dok sembang dalam kelas, hari-hari juga lah aku terkebil-kebil membayangkan powernya game dia ni.


"Abah aku kerja bawak lori, setakat game tv ni, tak luak pun gaji diaaaaa"


Sampaikan satu tahap aku mempunyai cita-cita mahu jadi bawak lori sebab nak beli game tv. Dari sekolah, aku dengan dia naik satu bas awam. Tambang lima kupang. Bas awam kayu kaler kuning hijau. Rumah dia kat Taman Mesra kalau tak silap, rumah aku kat Taman Bagan. Jauh sikit.


Lama juga aku hang out dekat rumah dia main game tv. Seronok betul. Masa main game tv tu memang aku dah bertekad nak jadi bawak lori. Siap aku terbayang nak lekat apa kat cermin depan lori aku.


Bila dah sampai petang, masa untuk aku chow. Aku periksa kocek aku, fuh, ada baki lima kupang. Tambang dari rumah dia ke rumah aku tak sampai lima kupang. Belen tu boleh aku beli cekedis. Tapi aku menyedari satu masalah. Aku tak pandai naik bas awam. Tadi pun aku naik dengan geng aku, berdua.


Lama juga aku fikir penyelesaian kepada masalah aku tu. Nak naik sorang, aku takut. Nak naik berdua, aku nak naik dengan siapa? Last-last, aku jumpa satu solusyen. Nak berjalan balik aku tak tahu nak follow jalan mana.


Aku get ready kat pondok bas. Bila nampak bas datang, aku buat-buat senyap. Elok je bas tu dah berlalu pergi sikit, aku oyomak geset go!


Aku berlari dari rumah geng aku, ke rumah aku, ikut belakang bas. Jauhnya ada la dalam kira-kira setengah jam perjalanan sambil berlari. Elok sampai ke rumah aku, aku rasa macam ahli sokan.


"Ni baju sekolah peluh-peluh ni pasaipa?! Hang pi mana?!"


Aku mampu sengih je dengan soalan mak aku, sambil makan keropok durian dua kupang, dan baki tiga kupang lagi dalam kocek aku. Esoknya geng aku ajak lagi hang out main game tv kat rumah dia. Selamba aku jawab "Aku ada kelas mengaji satgi".

Wednesday, July 10, 2013

Kisah graviti

Satu malam tu aku lepak dengan sepupu aku. Aku memang respek betul dengan sepupu aku. Dia pakai moto besar kaler hijau yang takdak raga kat depan, hari-hari main dambel buatan sendiri, koleksi tape movie dia penuh rak dan berambut panjang. Kalau balik rumah tok aku kat Parit Buntar, memang kami akan mesyuarat dua orang. Sembang hal-hal intelligent.


"Graviti ni ajaib. Macam ni..." dia ambil satu pen dengan satu kertas. Lepas tu dia lukis satu bulatan.


"Ni Bumi. Kalau hang berdiri tang ataih sini, hang tak terapung. Kalau hang berdiri tang bawah sini, hang tak jatuh. Kalau hang berdiri tang tepi sini pun hang tak jatuh." ujar sepupu aku, bangga dengan perkongsian ilmunya.


Aku angguk-angguk. Buat-buat impressed. Padahal aku dah belajar dah semua tu kat sekolah rendah aku. Lagipun aku ni genius sejak kecil, takkan itu pun dia tak tahu?


Sejak hari tu, jarang dah kami mesyuarat dua orang, baik aku dengar cerita tok aku pasal zaman jepun dulu. Lagi dramatik dan saspen.

Puasa masa kecil

Baru pukul 5 lebih rasanya masa tu. Aku satu famili ada di pasar ramadhan Taman Bagan. Kawasan pangsapuri aku tak ada pasar ramadhan, jadi kami pergi pasar ramadhan yang kat pangsapuri satu lagi. Masa tu pasar ramadhan tu nampak besar, mungkin sebab aku kecil. Sebab bila aku fikir balik, kecil saja rupanya pasar ramadhan tu.


Tengah sedap-sedap cuci mata tengok ayam panggang, murtabak, kuih tradisional, nasi beriyani dengan awek-awek sedarjah dengan aku, aku nampak ada brader besar jual air kaler merah. Aku setangkas rimau, aku mintak duit sikit dari emak aku untuk tampung perbelanjaan beli air kaler merah tu. Mak aku setuju. Abah aku angguk. Tanda turut setuju.


Petang itu, aku pulang dari pasar ramadhan dengan satu perasaan yang menjatuhkan imej ketua darjah yang berdedikasi.


"Hang tak malu ka Khairoul?" abah aku tanya soalan yang sama, banyak kali, sewaktu dalam perjalanan pulang dari pasar ramadhan.


Prejudis, brader besar tu prejudis terhadap budak-budak kecil dengan jual air kaler merah, kalau orang besar beli, dia ikat habis, kalau budak-budak kecil beli, dia ikat tepi. Siap letak straw.


Apa dia ingat aku budak kecil yang tak pandai puasa?


Selamat berpuasa semueeee!



Monday, July 8, 2013

Kisah komik Doraemon Edisi 25

Komik Doraemon hasil karya Fujio F Fujiko memang satu komik yang lejen. Barangsiapa tak baca komik Doraemon memang termasuk dalam geng-geng budak-budak yang tak kool. Geng aku memang kool. Aku, Hashim, Johan, Ghani dengan Fais. Fais tak berapa kool sebab dia paksa aku panjat pokok masa hujan lebat itu hari. Tak guna punya Fais.


Time muda-muda dulu, aku bukannya berduit sangat. Nak beli keropok durian dua kupang pun kena mintak dengan mak aku. Kalau tak dapat kat mak aku, aku mintak dengan abah aku. Kalau tak dapat dari abah aku, aku ambil senyap-senyap dari dompet mak aku. Gangster juga aku masa muda-muda dulu. Di awal pembabitan aku dalam arena komik Doraemon, aku pinjam member. Dia geng lain, tapi dia baik. Aku pinjam, aku bawa balik baca kat rumah. Doraemon Edisi 25.


Aku saja baca depan mak aku. Eksyen.


"Best o mak doremon ni. Dia punya jalan ceghita boleh membina satu pemikiran yang kreatif, satu perwatakan yang ceria serta membangkitkan motivasi. Tambahan lagi, komik ini bukannya mahai pun, murah jaaaaaaa..." aku terang panjang lebar sambil pujuk mak aku beli satu ke aku.


Lusanya, mak aku balik dari opis, mak aku beli komik Doraemon. Aku bengang, terus aku rebel satu rumah. Kerusi-kerusi semua aku tendang.


Mak aku pi beli Doraemon Edisi 25.

Sunday, July 7, 2013

Kisah tidur malam peluh-peluh

Sejuk-sejuk malam tu, tapi aku peluh. Biarpun peluh, jiwa aku enggan tidur tanpa selimut. Selimut yang mak aku bagi tu saiz dewasa, jadinya aku boleh selimut satu badan dari kaki sampai ke kepala balik semula ke kaki, tanpa masalah. Aku ada radio kecil. Radio yang boleh mainkan radio sahaja, kaset tak boleh masuk. Malam tu aku pasang radio apa entah, tapi yang aku ingat, pembaca berita dia nama Mariamatijo.


Kipas berdiri tu memang aku tala betul-betul ke muka. Tapi masih peluh. Semua gara-gara salah sorang ahli geng aku, Johan. Johan tu lahanat. Kalau geng kami gathering masa rehat di sekolah, takda lain dia akan buka cerita hantu. Aku, Ghani, Fais dengan Hashim memang suka dengar cerita Johan sambil pura-pura tak takut, eleh tu ja ceghita hang Johan aku mana ada takut pun, macam tu la ayat-ayat kami berempat.


Siang tadi Johan cerita pasal lelaki berjanggut tebal takat dada pakai jubah putih. Johan, Johan, cerita dia bila siang jadi biasa, tapi bila malam, jadi seram.


Lima enam kali jugak aku pertimbangkan satu idea. Tak boleh tidur peluh-peluh ni.


Aku lompat dari katil dengan gaya Power Rangers Biru, masuk senyap-senyap bilik mak aku. Aku landing baik punya atas katil sebelah mak aku.


Esoknya mak dengan abah aku tidur kunci pintu.


Geng panjat pokok

Masa aku darjah tiga, aku selalu melepak dengan geng-geng aku. Dalam geng aku ada Fais, Hashim, Johan, Ghani dan aku sendiri. Masa tu bakat kepimpinan aku belum menyerlah, jadi aku hanyalah watak tambahan dalam geng aku. Selalu petang-petang geng kami akan hang out dekat taman permainan. Main jongkang-jongket besi yang pakai spring tu. Aku tak berapa terer main jongkang-jongket tu, tapi sekali-sekala aku akan praktis main jonkang-jongket sambil berdiri. Kira itu lah skill yang paling susah pernah aku kuasai.


Satu petang tu, kami panjat pokok kat satu taman permainan. Sebelum tu, kami pergi rumah Fais. Mak dengan abah dia tak ada kat rumah. Kakak dia pun tak ada kat rumah. Aku nampak dalam bilik kakak dia, ada satu novel. Fais kata hang nak pinjam ambek la Khairoul, kakak aku takdak kat ghumah. Aku pun ambil.


Seronok sungguh aku dengan geng aku melepak atas dedahan pokok. Aku buat-buat macam lelaki dewasa, duduk atas dahan pokok sambil baca novel kakak Fais. Rasa matang. Aku siap ludah-ludah ke tanah lagi, kekonon kool. Lepas tu hujan tiba-tiba.


Kami pun apa lagi, cepat-cepat turun ke tanah. Lari lintang-pukang. Dalam kotak memori aku, kejadian berlari dalam hujan tu dia main secara slo-mo. Kalau ada musik latar, sudah tentu ianya berkaitan tentang semangat setiakawan kami berlima, aku, Fais, Hashim, Johan dan Ghani. Masa itu, aku dapat bayangkan, lagi lima ke enam tahun, kami akan berjaya sama-sama, kecuali Johan, sebab Johan tu pemalas.


"Weh, sat, sat. Aku tertinggai buku kak hang ataih pokok."


Fais terus marah aku. Dalam hujan lebat tu, Fais paksa aku pergi ambil balik novel kakak dia. Musik latar bertema semangat setiakawan tadi terus bertukar kepada musik bertema kawan makan kawan ataupun kawan yang pentingkan diri sendiri.


Tak guna punya Fais. Nasib baik aku tak kena panah petir.

Saturday, July 6, 2013

Tengok Power Rangers

Hari tu petang, cerah. Memegang watak budak sekolah, aku ikut budak-budak sekolah yang lain, nama pun aku dah lupa. Kiranya dalam ramai-ramai tu, aku termasuk geng yang paling muda. Darjah berapa pun aku tak berapa ingat, time tu Power Rangers The Movie yang first baru keluar tape. Tuan rumah yang ajak tengok cerita tu adalah budak cina, tua sikit dari aku masa tu.


Masa tu Power Rangers Merah dapat robot kera. Power gila. Power Rangers Putih yang pakai pedang kecik yang dia kena tiup untuk panggil robot helang dia tu kerek semacam. Kekonon dia ketua padahal Power Rangers Merah yang patutnya jadi ketua. Tapi Power Rangers Putih memang kool la dalam movie tu. Aku dicop Power Rangers Biru sebab aku hitam.


Masa tengok movie tu, aku eksaited nak mampus. "Power gila ceghita ni!", "Tudia aih, macam tu ja dia tegahjang oghang jahat tu", "Hampa ghasa kan, last-last nanti sapa menang? Aku ghasa pawer renjes menang!", aku sorang je yang bercakap paling banyak masa tu.


Esoknya, budak cina tu ada sewa tape baru lagi.


"Hang tak payah mai la Khairoul, hang cakap banyak sangat. Tak syok aku nak layan Masked Rider satgi."


Geng-geng aku semua tunduk ke tanah, angguk-angguk tanda setuju.


Friday, July 5, 2013

Baju Melayu vs T-Shirt Superman

Sebenarnya aku ni tak berapa gemar pakai baju melayu. Masa raya hari tu pun, aku pergi semayang raya pakai kain pelikat, t-shirt kat dalam dan baju sejuk kat luar. Bila masuk je mesjid, semua pandang aku semacam. Yelah, yang dalam mesjid tu semuanya pakai baju melayu lengkap, sampin, songkok. Serupa aku ni dah macam pendatang asing.


Padahal pendatang asing mana ada yang rupa hensem macam aku. Tak logik. Lagipun masa raya tu aku demam. Dan tambahan lagi butang baju melayu yang aku beli tu besar, tak muat lubang butang baju melayu aku. Bodo sapala yang reka butang baju melayu tu. Pesen lemah matematik.


Kalau pergi semayang Jumaat pun sama, aku lebih senang pakai pelikat dan t-shirt. Sepanjang ingatan aku lah, baju melayu untuk raya, aku akan recycle yang lima enam tahun yang lepas. Rilek je aku. Takda pun mati kena belasah kat rumah orang time beraya.


Tadi aku pi mesjid. Pakai t-shirt jugak. Lepas tu brader sebelah aku pun sama. Ngeri. Geli. Tak kusyuk jadinya aku. Bulu tangan beliau lebat.


Lalu masa semayang lengan aku asyiklah bergesel dengan lengan brader tu. Ya Allah punyalah kuat dugaan Tuhan nak bagi kat aku. Aku dah sikit lagi nak lempang brader tu, lengan banyak bulu sangat kenapa? Dah tahu banyak, pakai lah lengan panjang. Menyusahkan.


Sekarang baru aku tahu kenapa baju melayu semuanya berlengan panjang.

Timur Tengah vs Gitar Karen

Aku sebenarnya tak berapa ambil tahu pasal kisah di negara-negara Timur Tengah. Kalau aku berminat nak tahu pun, aku akan tanya member aku. Sebab member aku ni banyak baca pasal kisah-kisah di sana. Kalau aku nak harapkan aku baca sendiri, yang aku tahu, cerita di Palestin saja lah.


Aku tak berapa faham kenapa ada yang bertekak pasal kesiannya dia ni kena guling padahal baik kot, takpun pasal memang patut pun dia kena guling talibarut amareka sana tu, takpun pasal engkau berapa kali nak revolusi?.


Aku tak faham sebab yang bertekak ni pun, entah tahu ke tak cerita yang betul-betul BETUL. Semua cerita yang kita dapat hanyalah melalui laporan-laporan media. Dahlah pesen ada banyak jenis media pulak tu. Media Barat, media Timur, media Timur yang dikuasai Barat, media TV3, media komunis, media jahat media baik semua media lah boleh kata. Kot lah kau memang duduk Timur Tengah sana, itu memang aku boleh percaya seratus persen la.


Lepas tu ada pula yang bagi soalan bernas, "Kau ambil kisah pasal Metalicca ke pasal Mesir?". Dahlah eja Metallica pun salah. Memang kena pilih ke? Aku taj faham kenapa kena pilih. Adakah ini bermakna semua orang kena duduk senyap-senyap dan berbincang soal Mesir setiap hari dua puluh empat jam tujuh kali seminggu?


Metallica kot! Nak datang Malaysia! Walaupun aku takkan pergi konsert beliau, tapi kasi lah peluang peminat-peminat Metallica nak eksaited kejap. Yang kau bising orang lain dengar Metallica kenapa? Takkan nak harap ke Spanar Jaya je kot? Kahkahkah.


Oleh itu, aku harap lah siapa-siapa yang nak komen lebih-lebih pasal negara luar (yang kau sendiri tak berapa fasih situasi di sana), baik senyap sajalah. Kang jadi sebar pitenah pulak ye. Yang nak pergi konsert Metallica tu, blahla, bukan nak belanja aku satu tiket free, blahla hoi blahla. Aku jeles ni.


Tuesday, July 2, 2013

Hal kereta

Satu malam tu, aku sedang tengok satu siri amareka melalui laptop. Bukan main sedap lagi siri ni. Watak-watak yang direka sangat menarik, pelakon-pelakon yang membawa watak-watak tu memang cemerlang. Setting pun menarik. Musik latar yang dimasukkan juga menarik. Tidak kurang menarik jalan cerita. Pendek cerita, aku tertarik.


Lepas tu aku terfikir pasal kereta. Kalau dah kerja memang aku nak beli kereta, peduli apa aku pasal kesesakan lalulintas. Aku berpendapat lagi seronok komplen pasal kesesakan lalulintas dari dengar orang lain yang komplen. Aku pun berimpian juga mahu komplen pasal kesesakan lalulintas dan dalam masa yang sama aku sendiri menyumbang ke arah kesesakan tersebut. Macam kebiasaan, bila berfikir hal-hal yang serius, aku akan tanya diri sendiri. Malam itu, semasa berfikir pasal kereta, aku bertanya, "Kai, antara tayar depan kereta dengan tayar belakang kereta, mana lagi laju?".


Lama juga aku fikir soalan tu. Pantang betul aku jika aku ditanya, aku tak boleh jawab, tambah-tambah kalau yang tanya tu memang bijak bestari. Berkerut dahi aku memikirkan jawapan kepada soalan tersebut.


"Ha aku tahu jawapan dia. Tayar depan. Kan?"


"Yeke Kai? Kenapa tayar depan lagi laju dari tayar belakang?"


"Sebab." aku sedut asap rokok dalam-dalam.


Sambil melepaskan asap rokok tadi secara perlahan-lahan, aku sambung, "Sebab. Kalau kau bawa kereta, kau pergi mana-mana pun. Selalunya lah. Selalunya. Tayar depan yang akan sampai dulu, tayar belakang dia akan sampai selepas tayar depan. Maknanya tayar depan lagi laju daripada tayar belakang."


"Bijak juga kau ni Kai. Dahlah hensem." aku memuji aku sambil aku mendabik dada atas pujian yang aku terima dari diri aku sendiri.

Monday, July 1, 2013

Tuhan Luiz

Luiz seorang yang tidak percaya akan kewujudan Tuhan. Masa kecil, dia pernah menganut satu ugama, tapi ugama hanya tinggal nama. Langsung tidak pernah dia bersembahyang, berdoa, atau pun mengingati Tuhan. Apa sahaja yang dia buat, apa sahaja yang dia dapat, Luiz percaya itu hasil usahanya sendiri, bukan kerja Tuhan.


Ibu bapanya meninggal ketika dia berusia belasan tahun. Jika Tuhan itu wujud, kenapa ibu bapanya meninggal serentak? Kenapa Tuhan tidak menyelamatkan ibu bapanya? Jika Tuhan itu wujud, maka Tuhan itu kejam, Tuhan itu jahat. Mana ada Tuhan yang kejam dan jahat. Jadi Tuhan itu tidak wujud.


Luiz pernah cuba berdoa. Berdoa agar dia jadi sihat selalu. Tapi dia jatuh sakit juga, demam selsema batuk semua datang juga. Dia pernah berdoa agar jadi kaya. Tapi setiap bulan duit tidak pernah cukup. Luiz pernah berdoa agar ibu bapanya hidup kembali, tapi di kubur juga tempat mereka. Jika Tuhan itu wujud, kenapa doanya tidak dituruti? Mana ada Tuhan yang sebegitu hebat tidak mampu menunaikan doa-doa Luiz?


Satu hari, Luiz pergi ke kedai makan. Sedang sedap dia makan, seekor kucing jalanan datang menggesel ke kakinya. Lapar. Meminta makanan. Luiz buat tak tahu. Digesel lagi ke kaki Luiz. Luiz terajang kucing tesebut. Senyap seketika kucing itu, duduk sambil memandang sayu ke arah Luiz, meminta belas. Luiz buat tak tahu lagi. Kucing itu terus menatap wajah Luiz, minta perhatian sambil berbunyi meow dengan perlahan. Luiz nampak kucing itu seakan tidak putus semangat meminta secubit makanan darinya. Luiz nampak kucing itu lapar. Padahal, hari-hari Luiz di kedai makan itu, hari-hari kucing itu datang ke Luiz, hari-hari jugalah Luiz buat tak tahu ke kucing itu. Tapi hari ini, setelah diterajang kucing itu berkali-kali hari-hari, Luiz lempar secubit daging ikan. Luiz geram, kucing itu menjengkelkan, tak faham-faham. Bodoh punya kucing bentak hari Luiz.


"Oh..." kata Luiz sambil angguk-angguk. Sejak dari hari itu, Luiz mula percaya akan kewujudan Tuhan dan bersikap 'menjengkelkan' ke arah Tuhan.

Awak pasti bergurau

Aku sampai sekarang masih memikirkan bagaimana mereka yang serius tak kira masa atau tempat menjalani kehidupan mereka. Tak kisahlah apa jua topik yang diusulkan, mereka pasti berkerut dahi sedangkan yang lain bergelak macam orang gila.


Aku sememangnya gemar akan lawak yang ekstrem, lawak yang jenis memang lawak tahap maksimum, serta lawak yang langsung tak lawak atau bahasa kasar orang panggil lawak hambar. Kalau lawak yang pesen di tengah-tengah, aku tak berapa gemar. Kelas pertengahan ni biasa lah, siapa nak ambil peduli?


Orang yang pesen tak reti bergurau ni susah nak buat kawan. Kalau nampak dari jauh, kena cepat-cepat standby untuk bincang perkara serius, takpun bila dia dah sampai, kena duduk senyap-senyap. Dahlah muka masam memanjang, nak kata PMS takkan hari-hari PMS? Spesies beruk pun PMS sebulan sekali.


Tapi tak bolehlah sepanjang masa nak bergurau, kena ada masa yang sesuai yang jugak. Contohnya, masa bincang pasal ekonomi negara, hal berkaitan mati, politik semasa baik dalam atau luar negeri, pasal FAM, kerja rumah dan pasal dekat mana nak makan. Aku paling menyampah yang jenis tak serius bila tanya "Nak makan tang mana?". Haa, bila lapar pun tak boleh bergurau sangat. Jadi bulan puasa nanti kalau boleh jangan berinteraksi sangat dengan aku, dahlah aku tak hisap rokok. Kang bertukar jadi inkredibel hak.


Jika bergurau itu seksi maka aku berbogel.

Drama!

"Aku tak faham betul la drama ni. Memang semua drama kena ada watak tan sri, dato, perempuan gedik bersuara jet ski, mak yang pakai tudung dalam rumah, lelaki yang bergaduh dan selalu masuk hospital, pasangan suami isteri yang kena kahwin paksa lepas tu bergaduh bagai nak rak lepas tu baik balik last-last, suami yang tak reti mandi wajib, isteri yang suka menangis tanpa sebab, lelaki yang jahat hisap rokok, lelaki yang baik tak hisap rokok, sofa mahal, katil besar, pintu rumah berat, driver tan sri yang pakai songkok dan kereta volvo? Kau rasa memang semua drama kena ada yang tu ke? Kalau tak ada yang tu memang drama tak jalan?"


"Senyaplah, aku nak tengok Adiputra ni..."