Saturday, August 3, 2013

Kisah Percutian Solo #1

Itu hari, minggu depan ada satu cuti seminggu. Selalunya masa cuti-cuti memang akan rasa bosan, benda paling tak bosan yang boleh dibuat pun adalah main Xbox sehari suntuk. Main apa-apa permainan video ni macam MLM, mula-mula memang seronok, tapi akan sampai tahap tepu. Bila sampai tahap tepu mula lah rasa macam nak terajang Xbox dan televisen. Bosan.


Tengah aku fikir secara serius apa nak buat masa cuti tu, aku terdengar perkataan 'bitch' dari satu klip musik dalam televisen. Tanpa cakap banyak sangat terus aku buka laptop dan google "plage près de Toulouse". Lagipun dah berapa lama aku tak pergi pantai? Sejujurnya. Sangat lama. Kampung kat Perlis, mana ada pantai! Sejak jejak kaki ke tanah keju dan wain merah ni, mana pernah aku pergi pantai!


Dalam banyak-banyak senarai pantai yang dicadangkan oleh google, aku bersetuju nak pergi Anglet, google cakap situ ada satu pantai. Naik keretapi dari Toulouse dalam sejam lebih sikit-sikit. Nak sewa kereta pandu sediri, aku mana ada lesen kereta lagi masa tu. Nak kayuh basikal pergi Anglet pulak macam terlalu bangang sangat. Jadi aku tempah tiket keretapi secara online.


Selalunya kalau cuti, nak kemana-mana, aku akan bergerak secara berkumpulan. Rancang dalam tiga empat orang, tempah tiket keretapi atau penerbangan sama-sama, dan tinggal dalam hotel yang sama. Kali ini, aku bergerak solo. Rasa macam ahli kumpulan rock and roll yang rebel dan kemudiannya keluar dari kumpulan secara marah.


"Kau tak bosan ke Kai pergi sorang-sorang?" kawan aku tanya dalam nada serius bila aku beritahu pasal rancangan percutian singkat aku. Aku termenung jauh sikit, lepas tu aku bagi jawapan yang kawan aku tak berapa puas hati dengan jawapan tu. Aku rilek je, lagipun soalan tu berbentuk subjektif.


Hotel aku dah siap tempah dah. Aku pergi Anglet hari Ahad. Satu pilihan yang agak silap sebab perkhidmatan bas dekat Anglet cuti hari Ahad. Lahabau. Dari stesen keretapi ke hotel, bukan dekat. Aku ada pilihan satu lagi, teksi. Tapi aku tak suka naik teksi sebab aku berpegang prinsip yang caj teksi satu dunia adalah satu skim penipuan. Lalu aku percaya gerak hati, dan menapak dari stesen keretapi dengan hanya berpandukan alamat hotel.


Aku menapak sambil galas beg galas belakang. Cuaca di Selatan Perancis memang sedap, tak perlu risau mati kesejukan kalau menapak jauh-jauh. Dua tiga orang tempatan aku kacau masa tu, tanya arah kemana aku nak tuju untuk sampai hotel. Dan dua tiga orang jugalah yang tak berapa arif macam mana nak sampai ke hotel tersebut. Aku cemas sikit dah, sampailah aku terserempak dengan satu makcik yang bawa anjing jalan-jalan. Aku tegur dia dengan sopan dan aku tanya. Dia geleng. Ah lahanat, kalau kau tak tahu hotel tu kat mana baik tak payah keluar bawa aniing jalan-jalan!


Lama juga kami berdua terdiam di situ sambil dia cuba fikir dalam-dalam tentang hotel yang aku maksudkan tadi. Lalu datang seorang brader dalam lingkungan 30-an, naik basikal. Makcik tersebut dengan baik tahan brader tersebut dan tanya soalan berkaitan hotel aku. Brader tu juga mula fikir dalam-dalam, aku dah macam putus asa sikit dengan taktik fikir dalam-dalam ni. Tapi aku bagi peluang ke brader tersebut.


Bila dah habis fikir, brader tu pun terangkan ke aku hotel tu ada di mana. Dia cakap jalan terus, belok kanan, lepas tu jalan terus lagi, lepas tu belok kanan lagi. Aku tanya dia, kau yakin ke ni brader, dia jawab, rasanya kat situlah. Kami berterima kasih sesama sendiri dan meneruskan pekerjaan kami tadi, yang makcik, bawa anjing, yang brader, kayuh basikal. Yang aku, menapak.


Menapak la aku sorang-sorang atas jalanraya yang kecil. Kosong. Kalau tadi aku berasa seperti ahli kumpulan rock and roll yang rebel, kini aku rasa macam seorang koboi di kawasan gurun. Dalam menapak, aku lintas kawasan perumahan, supermarket dan tiga empat rumah kosong. Sambil menapak, aku terfikir, kejadah la aku fikir tadi? Ada ke patut aku tanya arah jalan kepada seorang perempuan? Perempuan mana tahu arah jalan! Terbukti lelaki (brader basikal) lebih arif pasal arah jalan berbanding perempuan (makcik berserta anjing).


Lima minit menapak, aku belum nampak hotel. Sepuluh minit, belum juga. Setengah jam, bumbung hotel pun tak muncul lagi.


Empat puluh lima minit. Rekod. Aku menapak selama empat puluh lima minit, baru jumpa hotel yang aku cari. Baju bukan setakat basah, tapi lencun dengan peluh. Seluar dalam jangan cerita lah, serupa lepas basuh terus pakai.


Bila sampai hotel, aku terus masuk bilik, baring kejap. Hotel yang aku duduk tu hotel (bolehlah) bajet. Tapi lengkap semua, katil, televisen, tandas dan cerek elektrik serta cawan. Bersih, sesuai untuk koboi di kawasan gurun macam aku. Aku turun ke bahagian kaunter dan aku tanya, macam mana nak ke Chambre d'Amour. Dia cakap, jauh tu, hari ni Ahad, bas tak ada, kena naik teksi. Celaka kena juga naik teksi! Aku mengalah dan aku masuk ke dalam skim penipuan caj teksi.


Chambre d'Amour ni kalau dialihbahasa akan berbunyi "Bilik Asmara/Cinta". Kawasan pantai di Anglet.


Pantainya memang sedap untuk hang out. Bersih, berangin, tak berapa ramai orang tak berapa sikit orang, pasir halus, kedai makan banyak. Petang hari pertama tu aku lepak jalan-jalan tepi pantai sambil makan aiskrim dan dengar iPod. Kalau tadi aku berubah dari ahli kumpulan rock and roll yang rebel kepada koboi di kawasan gurun, kini aku berasa seperti artis Hollywood yang cool.


Lama juga aku hang out di situ, sampai ke senja. Bila petang, perut aku lapar lalu aku pergi makan kebab dikalangan kedai-kedai makan disitu. Makan kebab di tepi pantai waktu senja, satu perkara yang tak pernah aku fikir dulu yang aku akan buat. Rekod juga tu.


Balik ke hotel dan mandi. Rancangan televisen macam tak berapa sedap, balik-balik diskusi pasal perkara yang serius. Aku tutup televisen dan aku membuta sampai ke pagi esok.


No comments: