Friday, July 20, 2012

Ramadhan tiba lagi

Seperti yang dijangka, bulan puasa kini tiba lagi. Jangan salah anggap, bulan itu nama sahaja bulan puasa, namun tidaklah diwajibkan ke atas bulan itu untuk mengerjakan ibadah puasa, yang wajib itu ke atas manusia berugama Islam! Kejadah pulak nak suruh kucing puasa sekali kan? Kejam tak bertempat namanya tu.


Kalau diikutkan analisa aku, minggu pertama dan kedua sahaja yang betul-betul bersemangat ramai akan puasa. Minggu ketiga dan keempat tu dah kurang bersemangat. Bukan sebab apa, sebab makanan berbuka puasa dah tampak biasa-biasa aja. Murtabak sudah tampak biasa, tepung gomak sudah tampak biasa, ayam panggang sudah tampak biasa, roti jala cicah kari sudah tampak biasa, apam balik jua tampak biasa. Jadi motivasi untuk berbuka sudah semakin hari semakin kurang. Tambahan pula raya kian dekat.


Aku ada seorang makcik yang pernah berpepatah bunyinya seakan-akan begini, "Kalau sudah tiada rasa keterujaan ingin menyambut hari raya, itu maknanya hang sudah tua." Ada benarnya. Dulu masa kecil, hari raya ditunggu sebab nak bergaya pakai baju baru, nak berhimpun dengan sepupu-sepapat untuk bermain mercun, dan yang paling penting nak pusing satu kampung serang rumah orang yang haram tak kenal sambil menagih duit raya. Itu masa kecil.


Semakin meningkat dewasa, semakin umur bertambah, aku dapat jumpa satu benda yang semasa aku kecil aku tak jumpa. Ketenangan di bulan puasa. Perasan tak perasan, bulan Ramadhan terasa aman, tenang, serta jauh dari keserabutan kepala hotak. Mungkin itu rahmat di dalam bulan yang dirahmati. Mungkin juga kerana perut yang kosong membuatkan otak memperoleh bekalan oksigen yang cukup (kerana tidak perlu menghadam makanan) lantas otak menjadi segar dan tenang. Itu teori aku lah, kau tak setuju kau duduk senyap, peduli apa aku.


Dalam bulan yang penuh rahmat ni, aku ada cita-cita sikit. Nak kurangkan kadar kemencarutan serta kemengarutan. Bakat mencarut tak tentu pasal tu mungkin aku (kita semua) kena pendam kejap. Mencarut dalam hati je lah lepas ni.


Ketenangan. Itu yang aku suka pasal Ramadhan.




Dengan lafaz bismillah, saya sebagai penyimpan mohor-mohor besar di dalam kategori manusia super kacak ingin mengucapkan selamat berpuasa kepada yang Islam, serta selamat berkunjung ke Pasar Ramadhan selama sebulan kepada rakyat Malaysia umumnya. Disertakan dengan pantun dua kerat tanpa rima ;


Bulan Ramadhan jangan korek hidung,
Sama-samalah kita berpuasa.


Nak pergi gugel niat puasa kejap.

No comments: