Thursday, July 5, 2012

Kampung jin

Satu hari tu aku pergi bawa kereta jalan-jalan dekat hujung pekan. Aku ni nama sahaja penduduk Perlis, tapi haram satu nama tempat selain Kangar, Arau serta Padang Besar aku tak kenal rupa. Aku bawa kereta perlahan, sebab niat aku sejak keluar rumah tadi adalah sahaja aku memandu kereta petang berangin ini dengan tujuan ambil angin dan bukan memelesitkan diri, tunai. Boleh dikatakan segala jenis pelusuk kampung, segala jenis-jenis jalan dari jalan berturap hinggalah ke jalan batu-batu aku redah. Sambil menghisap sebatang rokok seludup siam, aku senang melihat-lihat suasana tenang kampung.


Kruk kruk. Tiba-tiba perut aku berkruk-kruk. Akhir sekali aku makan tadi pukul dua petang. Sekarang dah pukul dua setengah! Mana tak lapar. Di kejauhan sambil aku terjongkat-jongkit disebabkan keadaan jalan yang serupa permukaan wajah seorang remaja yang baru nak tumbuh bulu (penuh jerawat batu), aku ternampak sebuah warung. "Warung Simpang Lima", tampak pudar papantanda warung usang itu. Aku letak kereta aku di bahu jalan lalu melangkah keluar. Puntung rokok di tangan aku jentik masuk betul-betul dalam sungai sebelah jalan tu.


Warung usang itu sunyi. Cuma ada seorang pakcik bersongkok yang pakaiannya begitu retro duduk-duduk melepak depan TV berantena perak. Dari jauh lagi aku dah yakin itu tuan punya kedai sebab ada tuala kecil atas bahu kiri pakcik tu. Aku duduk membelakangi TV dan pakcik itu sebab nak menikmati permandangan kampung sawah bendang kerbau lembu serta pepatung-pepatung yang terbang.


"Makan apa dik?"


"Teh ais dengan mee goreng."


Pakcik itu dengan wajah ketat melangkah ke dapur warung. Berdasarkan kelajuan pergerakan pakcik tu, dapat aku tafsrikan yang mee goreng aku bakal lambat siap. Jadi aku keluarkan sebatang lagi rokok seludup siam dan aku hisap fuh fuh.


Sambil aku merokok tu, aku dengar sikit-sikit bunyi suara TV. Tengah berita dekat TV3. Aku pun pelik jugak, berita petang TV3 selalunya pukul satu, bukan pukul dua setengah. Aku tukar tempat duduk mengarah ke TV.


Serius betul aku tengok pembaca berita tu. Berita terkini katanya. Oh dah ada balik rupanya slot Berita Terkini kat TV3.


"...tragedi yang berlaku di Ulu Kelang semalam menarik perhatian negara-negara luar, termasuklah Jepun, Singapura dan Perancis. Gerakan mencari mangsa yang tertimbus masih giat dijalankan. Datuk Seri Anwar Ibrahim dipetik berkata kerajaan sedang giat mencari bantuan pihak-pihak luar yang lain yang mempunyai kepakaran memandangkan ini adalah tragedi yang negara kita tidak mempunyai kepakaran yang cukup untuk ditangani. Dalam kejadian sema.."


Tanggapan aku salah, mee goreng aku siap cepat, pakcik bertuala di bahu sudah tercegat di depanku. Bagus pakcik ni.


"Kesian depa no?" sapa pakcik.


"Huh?"


"Dak. Nu dalam telebisen nu. Buat ghumah tinggi-tinggi terbalik."


"Kat mana tu pakcik?" padahal aku dengar dah pembaca tu cakap dekat Ulu Kelang.


"Keh-L nu la, tempat lain mana ada dok ada hat ghumah tinggi-tinggi."


"Saya pelik jugak pakcik. Depa bagi pulak Anwar Ibrahim tu masuk telebisen no?" mee goreng aku atas meja aku tak sentuh lagi.


"La, awatnya? Haghi-haghi kan dia masuk telebisen?"


"Ya la, tapi hat selalu masuk tu ceghita dia pasai hat tak baik ja."


"Ish, hang ni, dia tu kan timabalan mahadek, tak elok o hang cakap lagu tu."


"..timbalan? Mahadek?"


"Hang ni kena ambek tau pasai hai negagha." pakcik tersebut geleng kepala lalu melangkah ke dapur.


Timbalan? Mahathir? Bila masa Anwar jadi timbalan Maha-. "Sekian berita terkini jam dua setengah petang. Kami akan melaporkan berita terkini sejam dari sekarang berkenaan kejadian tragis Highland Tower. Assalamualaikum dan salam sejahtera." Lepas tu keluar drama melayu lakonan Erma Fatimah dengan Faizal Hussein. Versi muda.


Mee gorang aku masih dara, tidak kusentuh. Kepala aku dah start pening. Highland Tower? Anwar? Mahathir? Erma? Faizal?


Mata aku tak semena-mena menangkap kalendar jenis sehari kena cabut sehelai yang terpaku kat dinding kayu warung.


Dua belas.


Disember.


Sembilan puluh tiga!


Berkerut kejap dahi aku selama tiga saat. Aku cepat-cepat keluarkan iPhone aku dari dalam poket. Tiada isyarat. Aku check kalendar. 12.12.1993. Sama! Apa jadi? Aku kat mana ni? Atau lebih tepat, aku di 'bila'?


Aku terus bangun, lari masuk kereta dan start enjin. Mee goreng dengan teh ais tadi aku tak bayar pun. Kali ni aku bawak kereta macam orang gila dah. Segala jenis lubang atas jalan batu aku redah ikut kelajuan tinggi. Bila aku dah keluar dari kawasan kampung tu, aku berhenti kejap tepi bahu jalan. Mata aku tepat memandang ke depan. Aku cuba hadam apa yang berlaku tadi. Dalam setengah jam jugak aku dok macam tu. Tiba-tiba ada orang ketuk cermin kereta aku. Brader trafik.


"Cik, tak boleh parking sini, line kuning."


"...oh okey okey, maaf tuan....


"Cik mintak lesen dengan IC." ah sudah, Kalau ini 1993, maknanya aku baru tadika! Aku hulur senyap-senyap dekat brader trafik tu dengan harapan dia tak perasan.


Fuh. Rilek je dia hulur balik lesen dengan IC aku. Aku konfius jugak sebab takkanlah dia sebagai brader trafik tak perasan nombor IC aku yang besar gajah tu.


"Tuan, tumpang tanya, hari berapa bulan eh?"


"Hari ni? Dua belas. Bulan dua belas."


"Sembilan puluh tiga?"


"Sembilan puluh tiga? Kejap. Cik dari mana ni sebenarnya? Dari warung sebelah jalan kampung tu?" brader trafik tu senyum.


"Haah, eh mana tuan tau?"


"Dah banyak kali jadi dah. Dah banyak dah saya jumpa orang parking tepi jalan ni. Semua cerita benda yang sama. Warung tu sebenarnya takda dah. Kalau cik nak tau, kawasan kampung tu tempat kediaman jin-jin yang dibuang sebab kacau orang. Orang kampung dekat-dekat situ panggil tempat tu 'pekan jin'. Saya tau apa cik fikir, ini cerita mengarut. Tapi cik sendiri pergi situ, cik sendiri tengok berita Highland Tower tu. Ini dah kira cukup bagus cik tak eksiden. Ada dua tiga kes yang eksiden langgar pokok lepas keluar dari 'kampung' tu. Depan tu ada surau, saya sarankan cik pergi situ, ambil wudhu, lepas tu sembahyang sunat."


Aku tergamam. Benda pertama aku buat bila aku masuk surau depan tu adalah. Yep. Check kelandar surau. Nasib baik aku berada di 'waktu' yang betul. Mana lah tahu kot-kot brader trafik tu pun jin.




(Banyak yang bertanya. Ya ini diilhamkan dari sebuah kisah benar yang aku pernah terbaca suatu masa dahulu.)




edit kali kedua : Mengembara ke alam jin.



5 comments:

Hikaru Yui said...

kisah benarkah? sungguh creepy

Lizzie Yasmin said...

Sah brader trafik tue jin, Sebab dia pun sebut 93.

ceklala said...

ending cerita terus meremang!

De' Nurul said...

Aku terbaca ni pukul 3 pagi ok.Terbaik bro! Terbaik!!! *Nangis tarik selimut*

Blithe Spirit said...

tang mana weh?aku nak tau jugop