Monday, May 21, 2012

Bibit-bibit kecurangan

Faizal terburu-buru mematikan laptopnya. Facebook pun tak sempat nak tandatangan-keluar, risau jugak kalau-kalau abahnya yang selalu meminjam laptopnya terbukak laptopnya dan menge-hack akaun Facebooknya lalu menulis status yang berbunyi entah apa-apa seperti "Saya pakai seluar dalam berwarna pink."


"Jal, aku ada problem ni. Nak jumpa kau kejap." tulisan ruangan borak di Facebook itu melekat seperti kotoran degil melekat di atas baju sukan berwarna putih di dalam iklan serbuk pencuci baju. Solusi untuk membuang lekatan ayat itu? Kena jumpa Haris sendiri. Macam dalam iklan tu jugak, kena pakai serbuk pencuci tu sahaja sebab serbuk pencuci lain hanya berkesan sebanyak 99.9% sementara serbuk pencuci iklan itu akan berkesan sebanyak 100%, kompom!


Kelihatan Haris sedang duduk-duduk di atas bangku panjang. Kanak-kanak bermain papan gelongsor, buaian, jongkang-jongkit besi serta rounders di taman permainan itu. Ada dua tiga kanak-kanak yang kelihatan spastik, terloncat-loncat tanpa tujuan ke sana-sini, ada juga dua tiga yang hanya duduk di atas lantai taman permainan yang lembut itu sambil berborak dengan serius perihal episod Power Rangers di TV2 semalam. Sesekali kedengaran suara ibu bapa menjerit dari bangku-bangku panjang melarang anak-anak mereka dari berkelaluan tidak senonoh di situ. Kanak-kanak yang dijerkah ibu bapa tersebut hanya melambai-lambai kembali dengan tahap kebodohan yang melampau sambil bermain girang bersama teman-teman. Ibu bapa yang menjerkah pula hanya mampu mengetap bibir kebengangan sambil terseyum dan menggeleng-gelengkan kepala kemaluan ke arah ibu bapa lain yang memandang dengan pandangan menghakimi.


Faizal tiba di taman permainan dengan basikal BMX peraknya. Tercari-cari akan Haris. Sesekali berdiri di atas pedal basikalnya sambil membiarkan BMXnya itu meluncur perlahan-lahan. Selang dua minit, dia nampak Haris. Haris tampak sugul. Riak wajahnya dari jauh kelihatan begitu suram. Hati Faizal tak sedap, tertanya-tanya sendirian apa pula masalah Haris kali ini. Kalau dua minggu lepas, Haris ada masalah kewangan, tapi Faizal dah pinjamkan lima puluh ringgit dah, sudah terang kali ini bukan pasal kewangan. Kali ini masalah lain.


"Ris, kau ada masalah apa?" soal Faizal setelah BMXnya diparking bersebelahan sebuah tong sampah kecil yang belum lagi divandalisma. Lagipun peratusan vandalisma di daerah itu agak rendah jika dibandingkan dengan daerah-daerah jiran.


"Masalah besar ni Jal." balas Haris, lemah.


"Cerita la kat aku, mana tahu aku boleh tolong."


"Nor."


"Nor? Kau gaduh dengan tunang kau?"


"Tak."


"Habis?"


Haris yang dari tadi mengelakkan sentuhan mata serta memandang tepat ke arah kanak-kanak yang bemain di taman permainan itu kini mengalihkan matanya tepat memandang mata Faizal.


"Aku dapat tahu Nor curang dengan aku." Haris akhirnya pecah lubang.


"Kau biar betul? Nor tu aku nampak baik je." Faizal seakan tidak percaya. Seekor kumbang melompat ke bahu Faizal. Faizal tak perasan.


"Betul. Nampak je baik."


"Ish. Takkanlah." kumbang itu kini merayap ke ketiak Faizal.


"Betul. Aku siap ada bukti dalam telefon aku ni." Haris cuba menyakinkan Faizal sambil mengeluarkan telefon bimbitnya dari kocek kanan seluar.


Faizal hanya diam sementara Haris menekan-nekan telefon bimbitnya, ingin menunjuk bukti bahawa tunangnya Nor curang dengan Haris. Selang empat puluh saat, telefon Haris dihulur kepada Faizal. Faizal menyambut sambil tak sabar nak tengok bukti kecurangan tunang kawan baiknya.


"Aku ingat nak mintak putus tunang la Jal." kata Haris, kelihatan begitu kecewa.


"Ini ke bukti kau Ris?"


Haris hanya mengangguk, sambil ditekup mukanya dengan kedua-dua belah tangannya. Kedengaran seorang kanak-kanak menangis dek terjatuh buaian, seolah-olah turut sama bersedih dengan Haris.


"Kau rasa macam mana Jal, patut tak aku putus?" soal Haris, mukanya masih ditekup.


"Jal. Takpe Jal, jawab jujur Jal, patut tak aku putus?" soal Haris lagi setelah Faizal tak jawab.


"Jal." Haris mengangkat kepalanya yang dari tadi ditekup setelah Faizal hanya membisu.


KREK! KREK! KREK!


Faizal mengayuh BMXnya ke arah dia datang tadi. Bodoh! Baghal! Bahalol! Setan! Sumpah hati Faizal.


"JAL!!" jerit Haris kepada Faizal namun tidak diendahkan oleh Faizal yang sudah kira-kira 100 meter jauh.


Telefon bimbitnya yang ditinggalkan Faizal di atas bangku panjang itu dicapai. Terpampang laman Facebook untuk mobil di skrin.


"SEJAUH MANA KESETIAAN TEMAN LELAKI/WANITA ANDA? JAWAPAN : SI DIA TIDAK SETIA.

KLIK SINI UNTUK KETAHUI PULA KEHEBATAN TEMAN LELAKI/WANITA ANDA DI RANJANG."


Haris memandang sayu keputusan ujian Facebook itu di skrin telefonnya. Kecewa.


Sementara Faizal berazam sudah tidak mahu bersahabat dengan Haris yang bodoh itu. Bodoh! Baghal! Bahalol! Setan!