Tuesday, May 29, 2012

Al-kisah Jalil ep2

Jalil bangun pagi itu dengan kepala yang agak berat. Sambil menggosok-gosokkan matanya, dia melangkah ke bilik mandi. Musim sejuk suhunya memang rendah, tidaklah sampai ke bawah takat beku, sekitar 10 darjah celcius. Jalil memberus gigi dan mencuci muka, misai serta janggutnya dicukur nipis.


Semangkuk bijirin berperisa coklat dicampur dengan susu. Kelam-kabut juga Jalil makan sebab kelas lagi sepuluh minit dah nak mula. Lagipun Jalil tidak suka lewat ke kelas, nanti prof tanya macam-macam. Malas hendak menjawab. Sudah makan, mangkuk dibiarkan sahaja di dalam sinki.


Kasut Converse hitam dipakai. Jaket disarung. Sebatang rokok disua ke mulut. Pintu rumah apartment ditutup dan dikunci. Lagi lima minit kelas akan bermula. Sambil melangkah laju menuruni tangga apartment, rokok di bibir dinyalakan. Kombo gabungan asap dan udara sejuk mengisi paru-paru Jalil. Seperti dikejutkan sesuatu, kombo itu menyegarkan Jalil, dia sudah tidak mengantuk lagi. Kelasnya hanya sekitar 300 meter dari apartmentnya.


Kelas pagi itu memang membosankan, matapelajaran Matematik. Nama sahaja Matematik tetapi bukannya berkaitan nombor, tetapi lebih kepada logik akal. Contohnya, "Jika A adalah B dan C adalah B, maka C adalah A." Bagi Jalil, itu bukan Matematik, Jalil menguap sekali-sekala menjeling ke arah jam tangan Levi's kulitnya. Tidak sabar menantikan waktu rehat sepuluh minit sebelum kelas seterusnya.


Sejurus sahaja kelas Matematik langsai, Jalil bersama-sama yang lain melangkah ke luar ke pintu hadapan universiti, perlu keluar dari ruangan tertutup ini. Memang sudah menjadi kebiasaan meminum kopi di kala rehat. Jadi duit syiling dua puluh serta sepuluh sen Euro dicapai di dalam kocek. Mesin kopi itu menjadi tumpuan. Hampir kesemua pelajar beratur untuk membeli segelas kecil kopi. Jalil melangkah ke luar sambil segelas kopi di tangan. Berhati-hari sebatang rokok dikeluarkan dan dinyalakan. Tttttssssstttt-ahhhhhhh. Secara berjemaah, pelajar-pelajar lelaki dan perempuan, profesor-profesor lelaki dan perempuan menghisap rokok.


"Jalil, t'as une clope s'il te plait? J'ai oubliƩ la mienne chez moi."


"Oui. Tiens." Jalil dah agak dah. Kawan berbangsa Arabnya memang selalu macam tu. Konon-konon tertinggal rokok di rumah, padahal dah seminggu dah. Hendak tak hendak Jalil suakan sebatang rokok. Jalil suakan sekali pemetik apinya.


Habis sebatang rokok, Jalil nyalakan sebatang lagi. Sedutan asap diselangi hirupan kopi yang dibeli. Jalil dan rakan Arabnya bersembang rancak, dari isu halal haramnya rokok ke isu matapelajaran Matematik sebentar tadi. Rakan-rakan yang lain juga sibuk bersembang sambil menghisap rokok. Jalil memang tidak rapat dengan rakan yang lain kerana bagi Jalil, susah untuk menyertai aktiviti mereka, melainkan berbangsa Arab.


Kelas kedua bermula. Dua jam selapas, rehat lagi sepuluh minit. Sekali lagi mesin kopi serta pintu hadapan universiti menjadi tumpuan. Kopi dan rokok, itu yang menceriakan pelajar-pelajar serta profesor-profesor. Rutin kopi dan rokok diulangi lagi selepas kelas ketiga.


Setelah kelas hari itu selesai, Jalil melangkah pulang ke apartment. Ditemani rakan Arabnya yang juga hendak pulang. Rokok masih menjadi makanan utama, gabungan asap serta udara dingin menjadi penghilang tekanan pelajarannya. Tanpa diminta, rokok disua ke rakan Arabnya. Rakan Arabnya hanya tersenyum, berjanji esok akan membayar kembali hutang rokoknya selama seminggu itu.


Jalil masuk ke apartment. Televisyen dibuka dan dibiarkan. Peti ais dibuka, Jalil menggeledah peti aisnya. Ayam dah habis, daging dah habis. Jalil lapar.


Lantas telefon bimbitnya dicapai, dan Domino's Pizza dihubungi.


"Allo, chez Domino's Pizza."


"Allo." balas Jalil.

1 comment:

Irma Omar said...

memang pelakon utama nye Jalil n rokok eh?
Tuan punye cincin ep 5 xde ke? aku peminat tegar ferodok