Tuesday, October 29, 2013

Awang cuba-cuba

Ini cerita pasal orang lain, bukan pasal aku. Pasal kawan aku. Selalunya bila ada orang mulakan cerita dia dengan ayat "Kawan aku yang sorang tu kan...", cerita tu bukan pasal kawan dia yang sorang tu kan, tapi pasal diri dia sendiri. Macam bila ada berbahas dan cakap "Depa kata benda tu tak bagus...", depa tu entah wujud ke tidak, sama la macam kawan aku yang sorang tu kan tadi. 


Kawan aku ni kalau nak beli apa-apa barang, dia akan cuba dulu. 


Itu hari dia nak beli kereta. Bila dah sampai kedai kereta, dia cuba pandu kereta tu dulu. Normal la tu, kereta bukannya murah. Tapi yang tak normalnya dia nak cuba sekali tayar spare yang ada dalam bonet kereta. Kesian aku tengok penjual kereta tu bersusah-payah tukar tayar spare. Last-last, kawan aku tak jadi beli, sebab rim tayar spare tu tak cantik katanya.


Lepas tu ada sekali masa dekat-dekat raya. Aku ikut dia pergi beli songkok. Normal la kalau cuba pakai songkok atas kepala tengok ngam ke tak ngam sebelum beli. Tapi yang tak berapa normal bila dia rukuk dan sujud depan kedai songkok sambil cuba pakai songkok tu. Tak cukup lagi tu, dia nak beli tesbih dengan sejadah. Itu pun dia kena cuba dulu. Satu hal pulak aku kena tunggu sampai masuk waktu Asar dan tolong iqamatkan kat kawan aku, sembahyang jemaah depan kedai. Last-last, dia tak jadi beli songkok, tesbih dengan sejadah, sebab katanya kat rumah dah ada banyak.


Belum aku buka cerita pasal kat pejabat pos lagi. Haru-biru satu pejabat pos. Takkan nak beli setem 50 sen pun kena cuba dulu? 


Sampailah satu hari, malaikat maut datang jumpa kawan aku. Malaikat maut cakap ajal kawan aku dah sampai dah ni, tak boleh tangguh walau sesaat pun. Selamba kawan aku jawab ke malaikat maut, "Aku nak cuba dulu macam mana rasa mati, kalau orait, oraitlah, kalau tak orait, kau datang esok jelah tengok macam mana."

Sunday, October 27, 2013

Berpura-pura

"I have a favour to ask. Sebelum kami berdua meninggalkan rumah ini, kami mahu kamu berdua berpelukan. Just pretend that you love each other. Okay?" Dua-beranak itu mengangguk tanda setuju dan saling berpelukan dalam keadaan yang kekok. Amran dan Britney lalu melangkah keluar dari rumah anak-beranak yang baru kehilangan suami serta bapa masing-masing. Anak perempuan yang menyalahkan ibunya ke atas pemergian bapanya terus memeluk ibunya, Puan Elizabeth. Puan Elizabeth pula, yang selama ini menyalahkan anaknya, iaitu Sarimah, terus memeluk Sarimah. Akhirnya, mereka berdua menangis sambil berada di dalam pelukan masing-masing.


Itu adalah antara petikan cerita klasik. Petikan yang memberi mesej bahawa kepuraa-puraan akhirnya akan menjadi benda yang betul. Macam seekor serigala yang selalu berpura-pura menjadi seekor ayam, lama-lama beliau juga akan menjadi seekor ayam. Macam manusia yang selalu berpura-pura seronok pergi mesjid, lama-lama beliau juga akan masuk geng mesjid. Macam lelaki yang berpura-pura menjadi perempuan, lama-lama jadi pondan.


Lirik 'jika kau fikirkan kau boleh, kau pasti boleh melakukan' asalnya adalah 'jika kau berpura-pura kau boleh, kau pasti boleh melalukan'. Lirik tersebut ditukar atas alasan tidak masuk dengan irama. 


Dia samalah macam konsep 'leap of faith'. Nak berpura-pura, perlukan satu keyakinan dan kepercayaan. Macam ugama lah, mana boleh berpegang pada satu-satu ugama tanpa ada keyakinan dan kepercayaan. Fasa awal, kena berpura-pura bahawa Tuhan itu wujud, lama-kelamaan barulah kau 'tahu' bahawa Tuhan itu wujud. Orang Barat panggil 'leap of faith'. Entah betul entah tidak ayat orang putih aku tu, aku sendiri tak berapa peduli. 


Tapi ada juga yang berpendapat bahawa, semakin lama manusia berpura-pura, semakin lama dia sendiri akan menipu diri sendiri. Contohnya, macam serigala tadi, walaupun dia ingat dia itu ayam, sebab terlampau lama berpura-pura sebagai ayam, hakikatnya orang masih akan panggil dia serigala. "Realiti adalah macam mana yang kau sendiri nampak, bukan orang lain." Pernah terfikir kenapa orang yang selalu buat jahat, tak pernah terfikir yang dia buat jahat? Itu petanda bahawa dia sudah terlalu lama berpura-pura bahawa apa yang dia buat adalah benda yang baik-baik.


Entah macam mana aku nak simpulkan entry ni aku sendiri tak reti. Jadi aku berpura-pura bahawa kau faham dan pandai-pandailah simpulkan sendiri.

Thursday, October 24, 2013

Marathon Filem

Aku baru lepas tengok tiga filem secara marathon. Despicable Me 2, Now You See Me dengan Pacific Rim. Dua filem pertama tu sedap, yang terakhir haramnya membosankan. Tapi, ending Now You See Me tak berapa umph, klimaks kat tengah-tengah, lepas tu ending sedikit mengecewakan, macam pra-ejakulasi, tak kuat. 


Pacific Rim jangan cerita la, pelakon serupa kayu, hero cerita tu, adalah hero siri Sons Of Anarchy, siri yang agak popular kat Amareka. Tapi siri tu bergenrekan mat-mat motor besar yang menjalanlan kegiatan kongsi gelap. Itulah masalah pelakon drama bersiri, bila beliau berlakon filem, penonton tak boleh lari dari membayangkan beliau dalam watak dalam drama bersiri tersebut. Dan jalan cerita haram mendatar gila, boleh aku katakan langsung tak ada klimaks. Dalam kes ini, serupa orang ambil viagra, entah bila nak ejakulasinya. 


Despicable Me 2 pulak boleh lah kot. Best. Tapi disebabkan dia dah set satu standard masa Despicable Me yang pertama dulu, maka lebih kurang saja. Sama standard. Tapi binatang minion yang dikatakan kembar dajal tu memang kelakar. Kalau tak ada binatang binatang minion tu, memang cerita dia takkan jadi sesedap itu. 


Ceh, pandai juga aku kritik filem sikit-sikit. 

Friday, October 18, 2013

Abah aku, abah kau.

Xavier dengan Phillip ni dulu-dulu kawan baik. Selalu pergi sekolah sama-sama, pergi makan kat kantin sama-sama, naik bas sekolah duduk sebelah-sebelah, masuk toilet pun kadang-kadang sekali. Kalau dekat sekolah, orang panggil "kawan sejubor", sebab ikut je jubor masing-masing nak kemana-mana. Macam isi dengan kulit.


Xavier ada pergi rumah Phillip hari tu, nak buat kerja rumah sekali. Kerja rumah tu memang kena buat dua orang, kalau buat seorang nanti cikgu Matematik tak terima. Sedang seronok-seronok buat sifir tujuh, bapa Phillip balik dari kerja dan jerit "Honey I'm homeee." Phillip salam cium tangan bapanya, yang bernama Abu itu. 


Kau panggil bapa kau abah juga ke? Sama la dengan aku dekat rumah, aku panggil bapa aku abah juga. Kata Xavier selamba. 


Phillip pun apa lagi, mengamuklah beliau. Ahh mana boleh kau panggil bapa kau abah, sama dengan aku! Kau panggil la bapa ke bapak ke pak ke daddy ke abi ke. Sibuk je nak sama dengan aku. Bentak Phillip tak pasal-pasal.


Salah ke aku panggil abah juga? Abah kau, abah kau la, abah aku, abah aku la. Bukannya kita nak tertukar bapa pun. Xavier cuba memberi pendapat yang rasional, dalam usaha merasionalkan kepala otak kawan baiknya itu.


Tak boleh. Tak boleh. Mulai hari ini, kau jangan panggil bapa kau abah. Kalau kau tak setuju, kau boleh keluar dari rumah sewa abah aku ni. Phillip marah-marah lagi dengan mengugut Xavier. Phillip tahu, Xavier takkan berani punya keluar dari rumah Phillip, pasal kerja rumah tadi tak siap lagi.


Duduk rumah sewa pun nak berlagak si Phillip ni. Bisik hati kecil Xavier. Tak faham betul aku, dah besar pun takut tertukar bapa juga ke? Tambah hati Xavier yang kecil itu lagi.


Habis sahaja kerja rumah, Xavier pun blah dari rumah sewa Phillip. Sejak dari hari itu, mereka bukan lagi rakan sejubor, malah sering bermasam muka terutamanya di hari sukan.

Friday, October 11, 2013

Jiran tak diundang

Sepanjang dua minggu lepas, aku berjaga malam, siang aku tidur, sebab ada peperiksaan. Sepanjang dua minggu lepas jugak jiran atas rumah suka buat bising tetengah malam. Pelik betul aku, ketuk paku dinding malam-malam, susun perabut malam-malam, berlari dalam rumah malam-malam.


Dan sepanjang dua minggu lepas jugak, bila aku keluar beli rokok tetengah malam, aku selalu terlajak naik tangga. Aku akan naik sampai tingkat atas rumah. Banyak kali jugak. Entah pesen nyanyuk kot aku ni? 


Tadi baru aku tahu, jiran atas rumah aku tu dah dekat sebulan lebih pindah rumah. 


Yang aku tahu, dengar-dengar cerita, jiran atas rumah aku pernah bergaduh dengan orang Siam. Aku malas ambil port bila bab rumahtangga orang ni. Memang teruk bergaduh. Masuk suratkhabar rasanya, aku pun tak berapa ingat.


Sekarang ni aku ada rumah pakcik aku. Dah tu macam mana aku nak balik rumah esok ni? Babi seram pulak aku bila fikir pasal hantu Siam ni. 

Thursday, October 10, 2013

Pengalaman lebuhraya serta seorang mekanik

Tadi aku pergi naik lebuhraya, pasal nak menuju ke Selatan ambil adik aku yang habis belajar. Aku dulu rilek je balik sendiri galas beg galas besar gajah jalan kaki punya jauh pergi stesen bas. Siapa suruh aku tak ada abang yang caring dan baik kan? Nasib baik adik aku ada abang yang sebegitu rupa.


Pendek cerita, kereta mati atas lebuhraya. Aku mengamalkan konsep rilek brader, brader rilek, rilek brader, brader rilek. Tapi dalam rilek-rilek tu sempat juga la aku tumbuk-tumbuk stereng kereta serta mengeluarkan beberapa kata-kata kesat yang boleh menyinggung perasaan. Lalu aku telefon PLUS. Nak telefon siapa lagi? Takkan telefon abah kau pula?


Polis bantuan PLUS pun sampai, tapi depa sampai ke arah yang bertentangan dengan arah aku. Sembang sikit-sikit pasal permasalahan kereta, lalu brader-brader polis bantuan PLUS tadi setuju untuk buat u-turn dan sampai ke tepi kereta yang sedang mati tak sedarkan diri. Sebelum berpisah untuk seketika, beliau sempat berpesan, "Kalau ada hindu mana-mana mai nak tolong, jangan bagi." Aku fikir ya Allah apa perkauman sangat ni? Tapi aku angguk je la, pasal aku jenis menghormati orang lebih berusia. Lalu depa dua pun blah untuk buat u-turn. 


Lepas minit, memang betul. Ada brader India datang berhenti belakang kereta. Pasal aku dah pegang pesanan brader PLUS tadi, aku buat tak tahu. Brader India ni datang cakap apa masalah kita boleh tolong check kita pomen. Aku tak layan, aku cakap aku dah telefon PLUS dah tadi, tengah tunggu PLUS la ni, dengan nada hormat. Ye lah, orang nak datang tolong, takkan nak maki pulak kan?


Jadi, pendek cerita. Bateri kereta kaput terus, kepala radiator rosak hancur. So trak PLUS tadi tarik kereta sampai ke Plaza Tol yang berdekatan. Lama juga la depa tarik. Selalunya aku gelakkan kereta lain yang ditarik oleh kereta lain bila atas lebuhraya. Aku akan gelak sambil berkata, "Alaaaaa, tu taktik nak saving minyak tu. Tu pasal dia suruh kereta depan tarik. Bijak sungguh kahkahkah!". Dan tadi aku gelakkan diri sendiri, dan memang betul, saving minyak.


Brader PLUS tu dua orang, sorang pandu trak PLUS tu untuk tarik kereta, sorang lagi duduk dalam kereta aku masa kereta ditarik sambil dia kontrol stereng dan brek. 


Dia cakap, "Geng-geng Hindu tadi tu bukan apa, depa tu bukan jahat, depa tu dok cari makan atas highway. Mana-mana kereta yang rosak atas highway, depa pi la offer nak repair. Mula-mula depa akan janji kena berapa puluh saja, tapi bila dah masuk bengkel, depa punggah habeh enjin, depa akan caj ribu-ribu. Ramai dah yang kenaaaaaa.."


Peh, power betul taktik pomen-pomen tu. Menguntungkan. Kalau orang terdesak dan tidak mengamalkan konsep rilek brader, brader rilek, rilek brader, brader rilek, memang akan termakan la umpan pomen-pomen tu. 


Pendek cerita lagi, bila sampai plaza tol berdekatan (selepas dekat 45 minit ditarik), brader PLUS tadi offer telefon member beliau, yang seorang pemilik bengkel kereta. Aku pun oraitlah, apa nak buat lagi kalau bateri kereta dah kaput dengan kepala radiator lingkup? Nak repair sendiri, mana la aku tahu. 


Pendek cerita lagi, pemilik bengkel tu sampai dan selepas kereta di-jumper, aku pun follow beliau dari belakang untuk ke bengkel beliau. Brader ni bukan brader pun, taraf pakcik la. Tapi aku panggil brader jugak. Brader ni power! Mula-mula nampak selekeh selebet. Tapi sementara dok tunggu kereta siap, sebab bateri kereta tu nak kena order dari kedai lain, so lambat la sikit. Lama juga aku sembang dengan brader ni. Aku quote sikit-sikit la apa brader ni cakap.


"Saya ni dulu tentera udara. Saya tak tunggu sampai pencen, saya ambil opsyen, berhenti kerja, cemuih kerja bawah arahan orang ni. Saya berhenti, bukak bengkel. Senang la sikit hidup dari kerja bawah orang dulu. 


Orang muda sekarang ni tak boleh pilih kerja, ada apa kerja kosong, pi kerja. Even kalau kerja tu takdak gaji, hang pi keja, ambil knowledge tu, penting. Knowledge tu penting, saya sekarang ni dah tapi buku law buku insurans saya dok baca, nak tambah knwoledge.


Lelaki ni, kejatuhan lelaki boleh dikatakan semuanya berpunca dari perempuan. Bila dah senang sikit, kalau main perempuan, memang lingkup. Godaan ni kat mana-mana pun ada, biasa la, kita pun bukannya nabi. Tapi bila nampak godaan pelik-pelik sikit, kita lari la jauh-jauh, jangan dok ikut.


Lim Guan Eng tu, ada bagus, ada tak bagus. Biasa la, macam kerajaan jugak. Ahli politik ni, mana-mana pun la, nak tengok dia bagus ke tak, tengok niat, kalau niat dia tak elok, tak bagus la tu. Kalau duit yang dia belanja kat penduduk dia lagi kurang dari yang masuk poket dia, memang tak bagus la tu. Cukai naik sana-sini, mana bagus. Tapi saya kalau boleh memang takmau campur dengan politik. Anak saya yang sorang tu, lelaki, mana suka kerajaan, hari-hari baca blog. Saya kata kat dia, boleh nak memenci kerajaan, tapi jangan agresif sangat. Biasa la orang muda, rata-rata tak suka suka kerajaan."


Banyak lagi yang aku sembang dengan brader tu, tapi malas nak tulis, kahkahkah. Respek brader, respek. Walaupun penampilan lekeh dan serabut, ada pendirian, ada pengalaman. Aku harap kerja yang beliau lakukan, iaitu membaiki kereta aku tu, adalah kerja yang berkualiti. Tak sanggup dah aku kena tipu dengan mekanik kereta. Serik. 


Dan kemudian aku pun blah dari bengkel beliau, meneruskan perjalanan ke Selatan tanah air tercinta. Panjang aku tulis ni, siapa yang baca sampai sini, memang gigih betul. Dan sebarang benda yang aku quote tu, bukanlah word by word, tapi lebih kurang la. Aku pun bukannya komputer nak hafal satu perkataan satu perkataan.


Aku nak ucapkan terima kasih kepada brader PLUS dua orang tadi. Bagus. Cekap. Ramah. Professional. Dahlah yang sorang tu muka macam Datuk K. 


Kalau kereta anda rosak tengah lebuhraya, ingat, telefon PLUS cepat-cepat sebelum anda diklepet. 

Tuesday, October 8, 2013

Tekun

Jika dipandang secara tekun, boleh dikatakan rata-rata wajah manusia semuanya serupa. Dua biji mata, dua kening, satu batang hidung yang dilengkapi dengan dua buah lubang, sepasang bibir, gigi, dua biji telinga yang mana satu belah kanan dan satu belah kiri. 


Namun begitu, bukan semua mahu memandang dan dipandang secara tekun. Tambah-tambah jika yang dipandang itu diakui oleh dirinya sendiri sebagai rupawan, sudah pasti tidak suka dipandang secara tekun hinggakan kedengaran ayat nak mengorat aku la tu dok usha-usha tak hingin aku keluar dari mulut mereka. Sukar sangatkah mahu menyedari bahawa kadang-kadang solekan itu terlampau tebal ya Tuhan ataupun kening lukisan itu tinggi sebelah? 





Friday, October 4, 2013

Bas sekolah oren

Dulu aku pergi sekolah rendah naik bas. Pagi-pagi, aku akan berhimpun ramai-ramai depan pagar rumah dengan rakan-rakan sebaya yang sekor-sekor perangai macam budak sekolah rendah. Bila kelas habis, kami berhimpun lagi untuk sesi balik rumah. 


Bas sekolah aku dulu mana ada pendingin hawa. Bila pagi, sejuk. Bila waktu balik, panas neraka. Dahlah yang dalam bas tu semua perangai macam budak sekolah rendah, waktu balik, panas, semua berpeluh, bau kudis sekor-sekor. Masa tu aku dah terpengaruh dengan iklan bedak Follow Me bedak badan wangi untuk kesegaran sepanjang hari aku merinduimu. Aku sorang je yang segar sepanjang hari dan merinduimu.


Bas sekolah aku tu dulu kaler oren. Ada tulis besar-besar "Bas Sekolah" kat tepi, serupa lain tak tahu itu bas sekolah. Padahal dari jauh dah boleh tahu itu bas sekolah sebab dari jauh dah nampak budak-budak dalam bas tu terloncat-loncat macam beruk. Perangai serupa budak sekolah rendah. 


Dalam bas aku tu ada pelekat "Dilarang buang sampah keluar dari bas ini". Masa tu, aku fikir, patut la bas sekolah aku bersih, semua tak berani buang sampah dalam bas sebab takut kena paksa keluar dari bas oleh pemandu bas. Nak balik rumah macam mana kalau kena halau keluar dari bas? Takkan nak jalan kaki sambil terloncat-loncat sorang-sorang atas jalanraya? Tak kool kot. Memang semua budak fikir macam tu, serupa budak sekolah rendah.


Bas sekolah rendah aku kecil. Budak-budak sekolah rendah yang naik bas tu ramai. Memang penuh. Aku suka lepak belakang barisan time nak naik bas sekolah sebab nanti boleh berdiri tepi pintu. Jawatan berdiri tepi pintu bas dianggap mulia masa dulu. Boleh berlagak jadi konduktor bas dan dapat tengok garisan jalanraya. Pernah juga berebut-rebut nak beridiri tepi pintu bas sekolah. Memang sebiji perangai budak sekolah rendah. 


Rindu betul aku nak naik bas sekolah yang busuk.

Thursday, October 3, 2013

Eksperimen yang superpower

Aku teringat satu cerita masa aku kecil. Kejadian ni memang betul-betul mengubah hidup dan sungguh sadis dari perspektif orang kacak macam aku. Sebelum meneruskan pembacaan, aku sarankan kepada kau semua bahawa masa kecil aku kerap berfikir benda yang aneh-aneh dan aku selalu buat eksperimen sains dalam rumah. Eksperimen sains yang aku selalu buat adalah, bikin lampu suluh sendiri, bikin teropong kapal selam, tanam taugeh atas almari baju, bikin lampu signal untuk basikal serta cuba sambungkan earphone ke radio kecil (tak berjaya, malah radio tu terus lingkup jahannam). 


Tapi ada satu eksperimen yang aku buat masa aku kecil, yang aku betul-betul menyesal sampai sekarang. Dan aku salahkan televisen. 


Masa aku darjah satu, ada satu rancangan drama Melayu kat televisen. Drama pasal sorang brader ni ada kuasa yang super power. Beliau boleh melihat menembusi dinding. Tanpa cakap banyak, aku jenuh berfikir macam mana la cara nak dapatkan kuasa tu. Lama juga aku berfikir, tapi tak dapat jawapan. 


Satu petang tu, aku balik kampung. Masa aku main-main tepi sungai dengan sepupu aku, aku dapat Eureka moment sambil mentol menyaka atas kepala. Aku beranggapan bahawa aku sangat genius di ketika itu. Aku jumpa penyelesaian macam mana nak dapatkan kuasa melihat menembusi dinding. 


Aku tenung matahari. Secara terus. Waktu tu petang, jadi pancaran matahari tak begitu terik. Lama juga aku tenung matahari, dengan hipotesis bahawa aku bakal dianugerahkan kuasa yang aku memang dah lama nak. Sepupu aku rilek main tepi sungai tangkap ikan, aku rilek tenung matahari. Memang aku bodohkan sepupu aku masa tu, apalah bodoh sangat tangkap ikan dia tak tahu ke lima minit aku boleh tengok tembus dinding. 


Eksperimen gagal. Sikit lagi aku nak buta. Dan sekarang aku rabun. 


Bodoh punya drama melayu, penyebab aku rabun.