Monday, September 23, 2013

Lahabau atau bas

Tak lama sangat aku cari tempat duduk kosong. Mula-mula tu aku putus asa dah, semua tempat duduk yang sebelah dengan tingkap dah ada orang duduk. Pesen anti-sosial manusia zaman sekarang, pesen tak mahu duduk sebelah tempat duduk yang dah ada orang duduk. Macam aku la jugak sikit-sikit.


Nasib baik aku jumpa juga satu tempat duduk yang betul-betul kosong, sebelah tingkap. Aku pergi duduk situ lepas tu aku letak beg galas aku atas tempat duduk sebelah aku. Lega. Macam semua orang di dalam bas ketika itu, aku berdoa agar tak ada orang yang akan datang duduk sebelah aku. Kalau ada pun, biarlah yang perempuan cantik, janganlah lelaki atau perempuan gemuk yang bakal ceroboh sempadan kerusi aku. 


Dua minit lagi bas jalan, masa depan kelihatan cerah, macam dah tak ada penumpang lain yang akan masuk bas. Dua minit tu aku rasa macam dua ratus juta tahun. Bak kata Einstein, itu lah teori relativiti, tempoh dua minit boleh jadi paling lama atau paling singkat bagi sesetengah orang, bergantung kepada situasi. Dua minit bagi orang yang akan dihukum gantung, serta dua minit bagi orang yang sangkut dalam kesesakan lalulintas, lain. 


Lepas tu entah dari mana datang satu lahabau tersengih-sengih tergaru-garu mintak kasihan nak duduk sebelah aku. Potong mood sungguh. Aku pura-pura sengih balik sambil angguk-angguk kepala. Bodoh punya dua minit, nak habiskan dua minit pun terhegeh-hegeh macam badak. Tapi aku dikira bernasib baik sebab lahabau sebelah aku tu bukan gemuk. Sempadan kerusi aku terjamin tidak akan dicabul.


Dalam setengah jam bas berlepas, lahabau sebelah tak reti silent telefon. Bunyi mesej masuk serupa bunyi enjin kapal terbang. Dah tu tersengih-sengih bila baca mesej, eleh brader, orang lain pun ada teman wanita jugak tak payah la nak kecoh-kecoh. Aku masih pendam marah ke lahabau tu sebab datang duduk sebelah. Lama juga aku perhati lahabau tu tersengih, macam kena strok pun ada. Aku tegur la hang okay ka brader. 


Lahabau tu pun cerita. Dah sepuluh tahun saya bertarung dengan leukimia brader. Duit mak bapak pun banyak habis. Tapi saya baru dapat mesej tadi, doktor saya cakap saya dah sembuh. Sepuluh tahun brader sepuluh tahun. Lepas ni saya nak keluar melihat dunia, saya nak cari bini seorang, lepas tu kerja yang elok-elok. Saya dah sembuh brader saya dah sembuh.


Terus aku jadi baik hati dan membuang segala perasaan marah terhadap lahabau itu. Aku ucap tahniah walaupun aku tak pasti tahniah itu untuk siapa, untuk lahabau, untuk doktor, untuk mak bapak yang banyak habis duit, atau untuk Tuhan. Tapi tahniah la jugak. Lepas tu bas bergegar dan terbalik secara drastik. Penumpang melambung-lambung dalam bas, dalam senario terlambung-lambung tu aku rasa macam angkawasan.


Semua penumpang dilaporkan mengalami kecedaran ringan. Kecuali seorang penumpang, parah dan meninggal di tempat kejadian, lahabau. 





No comments: