Thursday, August 30, 2012

Jeritan panggilan Ilahi

Pagi tadi dalam pukul tujuh pagi aku dikejutkan dengan satu bunyi. Bunyi perlanggaran kenderaan. Maka aku terloncatlah dari katil kerana terkejut beghok. Memandangkan rumah aku memang ngam-ngam depan jalan besar di Perlis, maka memang mudah untuk terjaga di awal pagi bila terdengarkan bunyi ekzos kereta, bunyi ekzos moto ataupun bunyi hon bas ekspres. Hidup di kawasan ini memang jam penggera boleh diabaikan.


Maka dengan kuriusnya, aku bangun setelah kedengaran bunyi impak perlanggaran tersebut. Sesaat selepas perlanggaran, aku dengar bunyi seperti manusia meraung. Kesakitan. Aku pada mulanya sudah tidak sedap hati, bukan hati sahaja yang tidak sedap, malah segala organ juga tidak sedap. Mula terbayang babak manusia terputus tiga akibat eksiden serta darah terpancut merata atas jalan.


Dengan lafaz bismillah, aku pergi ke tingkap bilik. Bunyi meraung masih kuat. Aku terhendap-hendap mencari sumber bunyi. Sangkaan serta babak yang dimainkan dalam kepala otak aku tadi ternyata meleset. Meleset gila babi ah. Aku nampak anjing. Anjing yang baru dilanggar. Sedang meraung kesakitan. Sayup-sayup aku nampak badan beliau berdarah, hanya kepala serta mulut yang bergerak-gerak, ibarat kau ambil seekor keli, lepas tu pergi letak atas jalan tar yang panas.


Selama aku berdiri di tepi tingkap. Selama tu lah jugak mata aku terpaku ke arah anjing yang sedang nazak itu. Suaranya yang seakan-akan meminta belas kasihan mana-mana pemandu supaya membatunya begitu sesuatu. Aku tak dapat gambarkan bagaimana perasaan tatkala mendengar suara itu. Perasaan kasihan, perasaan sedih, perasaan seram, perasaan tidak berguna, perasaan kosong serta perasaan marah (terhadap pemandu babi yang pagi-pagi lagi dah pecut).


Lepas lebih kurang sepuluh saat meraung kesakitan, arwah pun pergi meninggalkan kita selamanya. Mati sahaja anjing itu, suasana bilik sunyi biarpun ada empat lima malaun yang masih memandu laju biarpun jalan di situ ada garis-garis kuning tersembul keluar yang bila kau laju sikit kereta kau akan bergetar dan memberikan impak kegelian kepada punggung.


Tidak semena-mena datang seorang orang putih yang berbaju cokelat, berseluar pendek serta bertopi. Apa yang aku lihat memang luar biasa. Orang putih itu melutut di sebelah bangkai anjing tadi lalu terbang ke angkasa dengan berkata "Wurf wurf wurf wuuuurf...". Aku yang tadi menggigil terus terasa nak berak.


Tapi kesian doh anjing tu. Aku yang selalunya bangun pagi akan steady, tetiba pagi ni aku bangun dengan keadaan menggeletar. Satu badan menggigil. Nak berak pun aku dapat rasa tinja aku bergetar-getar sebelum mencecah dasar mangkuk tandas. Suara anjing tu memang ada sesuatu. Orang putih cakap macam wake up call.


Kau bayangkan kau anjing. Maksud aku anjing tesebut. Kau keluar pagi-pagi nak pergi kerja atau ke kelas. Lepas tu masa melintas jalan, kau kena langgar. Kau terjerit-jerit minta tolong dalam kesakitan. Sorang pun tak peduli, malah ada yang cakap "Mampoih pi kat hang!". Selama sepuluh saat kau menjerit kesakitan. Lepas tu kiok, ke rahmatullah.


Bila bercakap soal binatang yang ditimpa kecelakaan, aku memang akan tersentuh, mungkin kerana aku juga binatang? Ah binatang lah kau.


Perenggan pasal orang putih datang melutut memang fisyen. Perenggan lain adalah kisah benar.




Wurf! (maksud dia berhati-hati atas jalan raya).

No comments: