Thursday, April 19, 2012

Pilihan, Penyesalan

Sukar untuk membuat pilihan. "Keistimewaan memilih adalah punca kepada segala kekecohan dan ketidaktenteraman di dunia" kata seorang ahli falsampah terkenal lewat 40-an. Memang sukar. Jika tidak diberi pilihan, banyak mulut yang merungut kononnya hak mereka diragut. Namun jika terlalu banyak pilihan, kekecohan pasti berlaku, masakan tidak, puak-puak pilihan A dan pilihan B bakal bertelingkah bertikam lidah memburuk-burukkan pilihan yang tidak dipilih. Sementara puak pilihan C hanya mampu berdiam diri kerana mereka sedar mereka adalah golongan minoriti.


Kalau diikutkan hati manusia yang tidak pernah puas, mahu sahaja memilih kesemua pilihan yang diberi. Namun apakan daya, itu mustahil. Mustahil dari perspektif norma kehidupan. Sudah ditakdirkan manusia dilahirkan dengan pilihan. Pilihan yang bakal mencorakkan kehidupan. Ironinya, kehidupan itu sendiri adalah pilihan, lihat sahaja di keratan-keratan akhbar, saban hari terpampang kisah menyanyat hati si berani mati yang betul-betul mati kerana lagak berani. Dari kisah anak-anak muda membunuh diri di atas jalan raya mahupun jalan persekutuan, kisah bayi-bayi pramatang disumbat ke dalam lubang jamban namum tidak dipam, kisah warga emas ditinggalkan mati seorang diri di rumah orang-orang tua, kisah suami isteri bertelagah sehingga tertumpahnya darah.


Jika pilihan itu tidak terhad, maka di manakah keseronokannya rancangan "Who Want To Be A Millionaire?" kelolaan Jallaludin Hasan? Jika difikirkan, apa sudah jadi dengan rancangan tersebut? Mungkin pihak produksi telah memilih untuk menghentikan rancangan tersebut, dek kerana kurangnya dana, ataupun kurangnya golongan intelek yang mampu menyahut cabaran bergelar jutawan. Pilihan. Siapa juga yang berjaya, siapa juga yang tidak, itu terletak di tangan yang memilih.


Kekangan masa juga faktor pilihan dibuat. Tidak thrill ataupun tidak challenging sekiranya masa yang diberi adalah tidak terhad. Pilihan kehidupan diberi sepanjang tempoh kehidupan. Sebaik tamat masa kehidupan, di saat itulah jua tamatnya pilihan yang diberi. Mustahil memilih untuk dikafankan dengan kain kafan feveret di saat nafas terakhir sudah dihembus. Mustahil. Batu nisan juga tidak mungkin dipilih dengan keler kegemaran masing-masing.


"Bang, apa minum? Apa makan?" soal mamak yang sudah lima minit tercegat di hadapan meja Idham.


"Kejap la mamak, tengah fikir ni."


"Berapa lama mau fikir abang? Kita ada teh ais, milo ais, nescafe air, ais krim soda pun kita ada bang."


Milo ais! Yes, bisik hati kecil Idham. "Kalau macam tu, kasi milo ais lah."


"...baik bang." ujar mamak tersebut lantas memulakan langkahnya ke dapur Restoran Yasmeen untuk memulakan proses pembikinan milo ais yang diorder.


Sedang Idham melepak di mejanya sambil bermain Draw Something di peranti mudah alihnya, tiba-tiba matanya melihat sesuatu di meja hadapan. Di kala itu, dia tahu dia harus membuat sesuatu sebelum terlambat. Sebelum perasaan menyesal membanjiri pintu hatinya.


Terpinga-pinga Idham seorang diri dengan mengangkat sebelah tangan dengan tujuan menarik perhatian mamak di kedai itu. Namun hampa. Mereka kelihatan begitu sibuk. Langsung tidal dipedulikan akan tangan Idham yang bergoyang-goyang di udara itu.


Tiba-tiba, muncul seorang mamak di belakang Idham, "Ya bang, apa mau?"


"Saya mau tukar. Itu milo ais kensel, saya mau ais krim soda macam meja depan tu."


"....habis ini milo ais macam mana?" kata mamak tersebut sambil menunjuk-nunjuk segelas milo ais di tangannya.


"Aiseh!"


Maka, diteguklah milo ais itu dengan perasaan kecewa dan menyesal. Hatinya menyumpah-nyumpah pilihan 'milo ais' yang dibuat sebentar tadi. Sekiranya masa yang diberi oleh mamak sebentar tadi lebih sedikit, sudah pasti 'ais krim soda' yang dipilih. Menyesal!!


Bermainlah lagu "Menyesal" nyanyian Sixth Sense di latar belakang sambil senarai nama watak-watak dimainkan secara bergerak dari bawah ke atas skrin kaca TV. Watak "Mamak 1" dimainkan oleh Muhammad Ghani bin Roslam Siddik. Sementara watak "Idham" adalah lakonan "Idham bin Royas".


Pilihan. Kerosakan. Kekecohan. Penyesalan. Ah sastera benar entry ini. Dalam hati ada kuman.


2 comments:

yui said...

susah rupanya buat pilihan ni...

WP said...

Kalaulah saya ada masa lebih sedikit untuk membuat pilihan, adakah saya masih akan membaca blog ini? Hahaha...