Friday, June 8, 2012

Jumaat dan Ghani ep2

Ghani baru tiba di Kuala Lumpur. Batak buat belia seperti Ghani yang baru kali pertama menjejakkan kasut ke bandar yang digelar metropolis ini. Ilham kawan Ghani yang jemput kat Duta. Masa mula-mula turun bas ekspres, Ghani dah start konpius, ah sudah bau bandar ni pun dah lain, macam mana ni. Selang lima minit Ilham kawan Ghani sampai untuk pikap Ghani.


Ilham ni jenis orang kota, pakaian pun dah lain, cara cakap pun dah lain, cara berak walhal sekalipun dah lain rupa. Seingat Ghani, Ilham ni dulu anak pekebun, selekeh je dulu mamat ni, hingus meleleh-leleh. Ilham bawak Ghani makan-makan dulu, nak suruh rasa makanan kota katanya.


Sampai je pukul satu tengahari, Ghani mintak Ilham bawak pergi mesjid. Yelah, dah nama pun hari Jumaat. Dalam perjalanan tu banyak hal dibualkan, dari politik ke masalah sukan negara sampailah terbawa-bawa ke hal yang lebih serius, hal absorber kereta. Sambil-sambil borak, Ghani seronok tengok bangunan-bangunan besar, kereta-kereta besar, jalan-jalan besar dan lubang-lubang atas jalan besar.


"Ni ke mesjid tu Ham?"


"Haah."


Amboi bukan main besar punya mesjid. Ghani betul-betulkan kopiah dia. Ghani nampak papantanda nama mesjid tu, "Mid Valley". Amboi lagi, punyala sibuk orang kota ni, sampaikan mesjid di-shortform jadi Mid. Tinggi pulak tu. Tunggulah balik kampung nanti, Ghani nak cerita kat orang kampung dia pergi semayang dekat Mesjid Valley.


Orang Cina, orang India, orang Singh, orang mat saleh pun masuk mesjid ni. Bagus betul orang kota, dakwah yang berkesan, semua jenis bangsa datang semayang Jumaat. Ilham terus bawak Ghani naik ke tingkat paling atas. Setahu Ghani selalunya tingkat atas untuk jemaah wanita. Tapi mungkin dah ramai sangat jemaah, orang mesjid bukak ruang atas untuk jemaah lelaki.


Pergh, ada ekon, bisik Ghani. Ilham suruh Ghani pegang tiket. Ghani baca tiket tu, dia tulis "Gerimis Mengundang." Siap tulis tajuk khutbah harini! Ghani kagum campur teruja. Apa lah isi khutbah Gerimis Mengundang ni. Mesti berilmiah.


Masa Ghani masuk tu, memang dah ramai dah orang kat dalam. Tapi gelap mesjid tu, Ghani teraba-raba jugak cari saf kosong. Ilham rilek je.


Bila dah start "khutbah" tu, Ghani tak ingat dah pasal khutbah, pasal semayang Jumaat, pasal air semayang, pasal tok khatib, pasal mimbar. Seronok betul jadi orang kota metropolis ni!


Habis "khutbah" pertama, Ilham ajak Ghani "dengar" "khutbah" Men In Black 3 pulak. Mesti pasal kisah riwayat Bilal bin Robbah.


Sejak hari tu, Ghani tak balik kampung dah.

No comments: