Saturday, January 19, 2013

Seram dan kacak

Ikut lah pada pemikiran masing-masing, nak percaya atau tidak. Aku cuma ceritakan apa yang pernah terjadi.


Malam itu malam Rabu. Suasana di luar rumah yang selalunya sunyi malam itu tidak sunyi. Hujan turun dengan tidak begitu lebat. Suasana di dalam rumah agak dingin. Sambil berbaring di atas sofa, aku menonton televisen. Cerita orang putih.


Sedang berbaring, kucing aku datang menghampiri. Ia duduk di atas karpet dan matanya memandang tepat ke arahku. Aku endahkan sahaja. Tidak semena-mena ia berdiri dan berbunyi satu macam. Aku endahkan jugak kerana aku tahu, sekarang ni musim kucing mengawan. Belum sempat aku nak marah kucing aku suruh diam, ia berlari masuk ke bilikku. Apa nak heran kan? Dah nama pun binatang, perangai mesti lah pelik.


Lima minit selepas tu, aku rasa nak berak. Lalu dengan tangkas aku pergi ke bilik aku, capai tuala, capai sebatang rokok lalu dicucuh dan menuju ke jamban. Masa aku keluar dari bilik aku, aku perasan kucing aku ada bawah katil aku, bulu mengembang. Ia sejuk mungkin.


Lepas keluar dari jamban, aku rasa semacam. Lupa nak bagitau, bilik tidur aku adalah di antara jamban dan ruang tamu. Sebelum ke jamban tadi, televisen aku tak tutup, aku biar je terbukak. Perasaan semacam tu buat bulu roma aku meremang. Tapi macam biasa, aku endahkan jugak.


Aku campak tuala aku ke atas katil dalam bilik dan menuju balik ke ruang tamu untuk sambung tengok cerita orang putih tadi. Tajuk cerita dia aku dah lupa. Masa campak tuala tu, aku perasan lagi sekali, kucing aku masih di bawah katil. Mengembangkan bulu.


Bila aku sampai ke ruang tamu. Aku nampak benda yang pelik. Aku nampak ada orang sedang berbaring atas sofa yang aku baring tadi. Memandangkan sofa tu membelakangi aku, jadi aku tak nampak muka.


Seingat aku, kaum keluarga aku kalau pukul tiga empat pagi macam ni dah konfem terbongkang atas katil masing-masing. Aku kaku kejap kat situ. Ada la jugak seminit dua aku terkaku kat situ tak boleh nak bergerak. Bukan tak boleh bergerak, tapi takut nak bergerak.


Aku beranikan diri melangkah ke sofa tu sebab nak tengok siapa yang baring situ. Belum sempat tiga langkah, dia bangun, berdiri dan memandang aku. Pakaian yang dia pakai adalah sebijik macam yang aku pakai, seluar pendek kaler cokelat, baju kaler hijau.


Aku nampak diri aku sendiri berdiri depan aku. Aku tergamam. Aku terkejut. Nak jerit pun tak mampu. Nak terkencing dalam seluar lagi la tak mampu sebab aku baru lepas berak. Kaki aku macam melekat kat lantai, tak boleh bergerak.



Tiba-tiba dia senyum dekat aku.


Ada la jugak dalam sepuluh saat aku berdepan dengan diri aku sendiri sebelum aku rebah dan pengsan kat ruang tamu.


Tetapi sebelum aku rebah, aku sempat berkata kepada diri sendiri, "Baru aku tahu perasaan orang sekitar aku, aku memang kacak, nak-nak lagi kalau aku senyum, mau pengsan siapa-siapa yang melihat senyuman aku."


Tapi itulah aku cakap tadi, ikut kau lah nak percaya yang aku ni kacak ke tak.


3 comments:

yui said...

adakah ini cerita seram yg diberi twist kelakar supaya xseram sgt?

jujurnya aku rasa klu jumpa benda2 menyamar ni lg seram drpd hantu david teoh dan ahmad idham...

PokaPola said...

@hikaru : ikut lah nak percaya atau tidak

yui said...

org kata yg menyamar2 jadi kita ni qarin...

samalah kes org dah mati ttiba dok nampak ada lg bjalan kt dunia ni.

xpnah la jumpa tp dgr org crita tu byk kali dah.