Abadi berjalan-jalan di sekitar pekan seorang diri. Pakaian yang dikenakan cukup ringkas, berseluar denim lusuh dengan tali pinggang Quiksilver biru, berbaju kemeja kotak-kotak berwarna terang, bertali leher, berkasut kanvas berwarna cokelat serta bertopi jerami kecil. Cermin mata reben diselitkan di butang baju paling atas. Sementara bling-bling di pergelangan tangan dikenakan agak longgar agar kelihatan sedikit taf.
Pergerakan Abadi amat lancar petang itu. Jarang-jarang masuk ke kedai yang berdekatan kerana tujuannya keluar ke pekan hanya satu, pisang goreng Kak Menab. Pekan itu memang taksub dengan pisang goreng Kak Menab, sampaikan ada dua tiga kampeni konglomerat yang menawarkan kontrak eksport ke luar negara termasuk Jepun, Poland, Mexico serta Zimbabwe. Namun Kak Menab tolak, kerana Kak Menab orang berfalsafah, tidak mahu diekslpoitasi golongan berkolar putih. Bahkan pula Kak Menab seorang yang sangat cantik di matanya sendiri.
Setiba Abadi di gerai Kak Menab, orang sudah panjang beratur, kira-kira 500 meter panjangnya. Bukan tak hendak, tetapi sudah banyak kali Kak Menab mengusulkan agar sistem mengambil nombor seperti di pejabat pos dilakukan, namun pihak berwajib masih mendiamkan diri, kerana sistem bernombor memerlukan dana yang besar. Sekitar 20 ribu ringgit. Tunai.
Abadi tidak mengendahkan kepanjangan barisan itu, lagipun Abadi bukan orang barisan, buat apa hendak berbaris? Abadi orang bulatan, kalau masuk bulatan ramai-ramai Abadi memang setuju sangat. Dari jauh Kak Menab sudah nampak Abadi, lantas di'hoi'kan Abadi. Hoi! Abadi hanya menganggukkan kepala. Setiba sahaja Abadi di situ, Kak Menab yang berpeluh serta bergelang emas Poh Kong hingga ke siku menghulurkan satu plastik pisang goreng kepada Abadi. Abadi bayar pakai tunai. Semua sekali lima ringgit.
Biarpun Abadi memotong barisan yang sepanjang 500 meter itu, Abadi tidak kisah kerana Abadi di pihak yang betul. Sebetulnya, sejam sebelum Abadi ke warung Kak Menab, Abadi telah menghantar sepucuk SMS berbaur "Kehadapan Kak Menab, pisang goreng lima ringgit. TQ." Sistem memesan pisang goreng melalui khidmat pesanan ringkas itu masih di peringkat percubaan. Kak Menab sudah fedap dengan usulnya meminta sistem bernombor dengan pihak berwajib. Kak Menab juga bukan orang barisan.
Sambil berhati girang, Abadi pulang ke terataknya di hujung kampung di mana di bawah terataknya ada seekor katak melalak bak kata Jamal Apaapasahajalah. Di dalam terataknya Abadi segera mengambil pinggan, sudu, garfu serta kicap. Abadi ada darah Norway, jarang sekali makan pakai tangan, maklumlah tangan itu kotor jika dilihat seperti di dalam iklan sabun pencuci tangan. Lagipun Abadi malas basuh tangan.
Sambil mencicah pisang goreng ke kicap, Abadi menonton televisyen. Dengan secara ketiba-tibaan, TVTiga memaparkan "BERITA TERGEMPAR".
"Pihak stesen kami melaporkan bahawa sebentar tadi seorang pemuda yang berpakaian cukup ringkas, berseluar denim lusuh dengan tali pinggang Quiksilver biru, berbaju kemeja kotak-kotak berwarna terang, bertali leher, berkasut kanvas berwarna cokelat serta bertopi jerami kecil cermin mata reben diselitkan di butang baju paling atas sementara bling-bling di pergelangan tangan dikenakan agak longgar agar kelihatan sedikit taf telah dilihat! Saksi di warung goreng pisang Kak Menab berkata tidak pernah sepanjang umurnya melihat lelaki sekacak itu, sehinggakan saksi tersebut berkata dia hampir-hampir meminta cerai dengai suaminya supaya dapat terus bersama dengan lelaki kacak itu. Malangnya pihak kami tidak sempat menemubual lelaki super kacak itu kerana kami lewat tiba. Sekian melaporkan, untuk. TVTiga."
Abadi hanya tersenyum kecil sambil memakan pisang goreng bersalut kicap.
No comments:
Post a Comment