Wednesday, May 2, 2012

Awang dan Jenifer

Awang telah lama menanti di situ. Menanti dengan penuh sabar. Sudah dekat setengah jam lebih rasanya. Awang pun bukannya ada jam tangan, tak tahulah pula sudah berapa lama secara tepat. Hari-hari minggu begini, kediaman rumah pangsa memang sunyi, sama ada kebanyakannya sedang membuta, ataupun ke pasar. Awang bangun awal, lagi awal dari azan Subuh. Maklumlah, nak dating. Jenifer tak sampai-sampai lagi. Memang dasar janji melayu, desus hati Awang.


Sudah dekat dua bulan Awang dengan Jenifer bercinta. Awang suka Jenifer, Jenifer pun suka Awang. Suka sama suka. Tapi, orang tua Jenifer tak suka Awang. Sebab Awang termasuk dalam kategori jalanan. Miskin, lekeh, busuk serta kurap. Kesian Awang. Bukan tak berusaha, tapi sukar bagi Awang hendak menukar nasib hidupnya. Awang merenung jauh, membayangkan betapa bahagia hidupnya jika dapat bersama-sama Jenifer seumur hayatnya.


"Hai Wang, lame ke tunggu?"


"Eh Jen, takdelah, kalau lame pun takpe." kata Awang, terloncat sikit sebab terkejut.


"Eh Jen, ni Wang ade bawak kentaki kat Jen. Wang jumpe dalam tong sampah tepi parking berkupon tu. Jamahlah sikit." ujar Wang lagi, bersungguh-sungguh mempelawa Jenifer. Bukan ajak-ajak ayam.


"Kentaki...? Takpelah Wang, Jen dah melantak dah tadi. Wang je lah makan." tolak Jenifer. Unimpressed.


"Ala Jen ni. Penat tau Wang carikan kat Jen. Jamahlah sikit. Sikit pun jadilah Jen."


"Hmm..yelah. Kite makan sorang sikit eh?"


"Okay." ujar Awang tersenyum.


Kentaki itu pun lalu dilahap mereka berdua. Tapi Awang paling banyak makan. Jenifer sekadar gigit-gigit bahagian kulit kentaki yang garing. Bukannya Jenifer tak suka kentaki, tapi Jenifer faham, Awang tu yang lapar sebenarnya. Lagipun, Jenifer suka tengok Awang makan, nampak comel.


Dah habis makan kentaki. Awang pun ajak Jenifer pergi jalan-jalan. Jenifer tak tolak pelawaan Awang, sebab Jenifer suka jalan-jalan. Nak dipimpin tangan Jenifer, Awang tak boleh, bukan mahram. Lagipun susah bagi Awang mahu berjalan sambil pegang tangan Jenifer. Berjalanlah mereka menuju ke sebuah bangku panjang di bawah pohon terung yang redup itu. Sesekali Awang menjeling ke arah Jenifer yang catwalk itu, anggun.


Bangku itu menjadi saksi akan dating mereka pagi itu. Biarpun bahang matahari sudah terasa, mereka seronok bersembang. Sesekali Awang menjilat badannya yang terasa panas. Jenifer hanya tergelak kecil. Kupu-kupu yang datang singgah bertumpang teduh di bangku itu dihalau Awang. Tak mahu diganggu. Jenifer gelak lagi.


"Hai Jen, apa khabar?" sapa Brad yang tiba-tiba muncul di hadapan mereka.


"Hai Brad, Jen sihat. Brad nak pergi mane tu?" balas Jen mesra, sengaja membangkitkan rasa cemburu Awang.


"Brad nak pergi gym kejap, main dambel." balas Brad, megah, sambil melipat-lipat sikunya bertujuan menampakkan otot dan urat lengannya.


Brad pun berlalu. Sambil menjeling ke arah Awang. Awang hanya menyepetkan matanya ke aras Brad, tanda amaran bahawa Jenifer kepunyaannya. Takut juga Awang sebab Brad tegap, Awang kurus. Tapi kena tunjuk kuat depan Jenifer, nanti Jenifer lari ikut Brad, habislah Awang.


"Jen ni, janganlah layan Brad tu."


"Ala Wang, dah dia tegur, Jen balas je la. Wang jeles eh?"


"Hoi mana ada!" bangkang Awang sambil meregang-regangkan kakinya yang lenguh. Terdengar akan letupan kecil tulang kakinya. Lega.


Awang dan Jenifer pun sambung bersembang lagi. Tengah-tengah dok sedap bersembang, tiba-tiba sebuah kereta Saga berwarna kuning masuk ke kawasan parking. Awang mengeluh. Orang tua Jenifer sudah pulang dari pasar. Menandakan dating mereka berdua pun tamat.


Jenifer bangun dan menggaru-garu kepalanya dengan kaki, sesekali meregangkan tangannya sambil memusingkan kepalanya laju-laju. Awang hanya memerhati.


"Oklah Wang, Jen kene pulang ni."


"Hmm..yelah."


"Bye Wang."


"Bye."


Jenifer melompat turun dari bangku dan terus berlari-lari anak ke arah Saga kuning tersebut. Orang tuanya sudah pun keluar dari kereta, sambil tanggannya menggenggam plastik berwarna biru. Jenifer berhenti betul-betul di tepi orang tuanya dan menggesel-geselkan kepalanya yang berbulu itu di kaki orang tuanya. Sambil mengeluarkan bunyi seolah-olah orang berdengkur.


"Jenifer...Jenifer pergi mana tadi? Ni mak ada belikan ikan termenung kat Jenifer. Alololololo comeinya dia." kata orang tua Jenifer sambil menggaru-garu bawah dagu Jenifer. Bukan main seronok Jenifer.


"Jenifer janganlah selalu sangat turun kat tempat parking ni. Kang kena langgar kereta. Lagipun jangan kawan dengan kucing kurap tu! Kotor!" ujar orang tuanya lagi.


Jenifer hanya menggulingkan-gulingkan tubuhnya yang berbulu lebat atas jalan raya. Bukannya gatal, tapi saja berlagak comel di hadapan orang tuanya, manalah tahu-tahu kalau orang tuanya termakan akan aksi comel itu lalu diberikan dua ekor ikan termenung segar dari pasar, nyum!


Kesian Awang. Hanya mampu melihatkan aksi Jenifer dari jauh. Eleh, dapat ikan terus lupa kat aku, bisik hati Awang sambil menjilat-jilat ekornya yang berkurap.


Meow.

2 comments:

WP said...

Kisah cinta kucing! :D Nanti buat adaptasi filem ya... hehe

No name said...

Brad tue pun kucing kan.. mampu plak dia angkat dumbell.. hahaha