Tuesday, May 22, 2012

Al-kisah Jalil

Jalil berjalan-jalan di sekitar bandar petang itu. Petang Khamis memang selalunya ramai orang di bandar, memandangkan Khamis adalah hari setengah hari kepada pelajar-pelajar universiti serta kolej. Peluang setengah hari adalah peluang yang perlu diambil kesempatan untuk mengambil angin. Membuang segala tekanan pembelajaran yang kian tepu di otak. Menyedut segala angin-angin serta zen-zen positif.


Jalil berjalan melintasi kedai-kedai baju, kedai-kedai makan serta kedai-kedai perkakas elektronik. Dilintas sahaja, tidak masuk, kerana wang biasiswa belum lagi masuk, jadi tak perlulah membeli-belah. Lagipun itu bukan tujuan asal Jalil ke bandar. Dari jauh sudah terpampang papantanda "Tabac", sebuah kedai menjual rokok, majalah serta gula-gula. Jalil mempercepatkan langkah.


"Un Marlboro s'il vous plait." ujar Jalil sambil tersenyum ke arah pekedai Tabac yang berkaca mata serta berbaju cokelat itu.


"Merci." tambah Jalil setelah sekotak Marlboro diserah ke tangannya. Baki wang sebanyak tiga perpuluhan lima euro itu diambil kemas dan dimasukkan ke kocek jeans belah kanan. Pekedai Tabac itu hanya mengangguk kembali.


Plastik lutsinar nipis yang membungkus kotak Marlboro itu direntap dan ditanggal. Sebatang Marlboro diletak di bibir dan dinyalakan. Jalil meneruskan langkah sambil asap Marlboro itu disedut dan dihembus. Langkahnya kini perlahan, steady, tidak terburu-buru seperti tadi. Perutnya sudah tiga kali berbunyi, sekali di dalam bas ketika dalam perjalanan ke bandar, sekali ketika turun dari bas, dan sekali lagi ketika Marlboro di mulutnya itu dinyalakan.


Kelihatan seorang yang berpakaian ala-ala tentera, berbut tinggi, berambut punk, bertatoo di lengan serta sebuah botol di tangan sedang duduk membelakangi kedai jam. Di sebelahnya ada anjing besar. Leher anjing itu diikat tali. Anjing itu sedang duduk dengan matanya hanya memandang orang yang lalu-lalang di bandar. Jalil melintas di hadapan pemuda tidak berumah itu.


"Oh jeune homme. T'as une clope?" jerit pemuda itu kepada Jalil.


"Tiens." Jalil berhenti sambil menghulurkan rokoknya yang di tangan itu. Sudah separuh terbakar.


"Merci jeune homme!" balas pemuda itu sambil meletakkan rokok yang diberi Jalil ke bibirnya. Rokok disedut. Jalil tersenyum dan melangkah pergi.


"MERCI JEUNE HOMME!!" jerit pemuda tidak berumah itu sekali lagi ke arah Jalil yang sudah 10 meter jauh. Jalil hanya mengangkat tangan kanannya tanpa menoleh ke arah pemuda itu, tanda "Sama-sama".


Jalil tiba di satu simpang empat. Jalan di bandar begini memang dikhaskan kepada pejalan kaki. Jarang-jarang ada kenderaan yang meluncur di sini, kalau ada pun hanya mereka yang dibenarkan. Simpang ke kanan menghala deretan kedai lagi. Simpang ke kiri menghala ke sebuah lapangan yang dikhaskan kepada peminum-peminum alkohol, pub. Jalil meneruskan langkah ke simpang pukul 12.


Hidung Jalil sudah mula menangkap bau-bau pudar daging yang dibakar. Perutnya berbunyi buat kali keempat. Sepanjang berjalan menerusi bandar, ada juga dua tiga mata yang mengamati Jalil. Namun Jalil sudah biasa, wajah orang asing di bandar kecil ini memang jarang-jarang. Jalil hanya buat dek. Dua hari lepas, seorang nenek tua yang bertongkat menegur Jalil, bertanyakan asal-usul Jalil dan menyatakan hasrat ingin suatu hari ke Malaysia kerana pernah terbaca akan keindahan Malaysia. Jalil hanya mengiyakan sahaja kata-kata nenek itu.


Jalil duduk di meja luar kedai kebab itu sementara menunggu pelayan kedai datang mengambil pesanan. "Un kebab, mayonaise ketchup sans tomate, et un coca." Itu sahaja yang diujarkan Jalil kepada pelayan kedai kebab yang datang dari Morocco itu. Kebab dengan sos serta mayones, tanpa tomato serta minuman kegemaran Jalil, setin Coca-Cola. Kebab di situ memang kena dengan selera Jalil, murah pula tu.


Sementara menunggu pesanannya tiba, Jalil menyalakan sebatang lagi rokok. Telefon bimbitnya diperiksa, tiada panggilan mahupun pesanan teks yang masuk. Telefon bimbitnya dimasukkan kembali ke dalam kocek jeans belah kiri. Sedang Jalil memerhati keadaan sekeliling sambil menikmati angin petang di situ, datang seorang perempuan awal 20-an ke meja Jalil.


"Salut, t'as du feu s'il te plait?" ujar perempuan itu kepada Jalil.


"Oui, attends." balas Jalil sambil mengeluarkan pemetik apinya dan menyalakan rokok di bibir kecil perempuan itu. Perempuan itu terpaksa membongkokkan badannya.


"Merci!"


"De rien."


Perempuan itu meneruskan langkah ke arah dari Jalil datang tadi. Jalil hanya memerhatikan sahaja gerak perempuan itu. Boleh lah tahan, desus hati Jalil. Kalau ikut standard orang Eropah, aku kasi 7/10, ujar hatinya lagi. Serentak itu kebabnya tiba di meja berserta satu tin Coca-Cola. Tin itu dibuka dan diteguk, terasa terbakar sekejap tekak Jalil dek aliran air coke itu. Jalil angkat kebabnya perlahan-lahan dan disuakan ke mulutnya, gigitan pertama, meleleh keluar sos serta mayones yang diletak di dalam kebab itu. Sesekali french fries yang disertakan sekali dimakan. Jalil puas, kebab ini memang berbaloi.


Setelah makan, Jalil memulakan langkah ke stesen bas melalui jalan tadi. Dalam perjalanan pulang, Jalil sempat masuk ke sebuah kedai buku, hanya tengok-tengok. Kedai buku tersebut adalah satu-satunya kedai di bandar yang menawarkan buku inggeris. Namun jika ingin membeli buku-buku baru, pesanan ke England harus dilakukan, seminggu baru sampai.


Jalil pulang ke apartment dengan perut yang gembira. Turun dari bas, Jalil menyalakan sebatang lagi rokok. Sambil menghisap rokok, Jalil melangkah ke apartment.


Asap-asap rokok disedut dan dihembus keluar.





No comments: