Wednesday, September 26, 2012

Rumah sewa puaka

Aku ada satu cerita yang sudah berusia lebih kurang dua puluh tahun lebih yang aku akan ceritakan. Cerita ni sebenarnya bergenrekan sedikit seram dan sangat mistik. Cerita ini disampaikan sendiri oleh abah dan ibuku, serta disokong kuat oleh nenekku sebelum beliau masuk ke fasa nyanyuk. Jadi kesahihan cerita ini boleh lah dianggap benar.


Lebih kurang dua puluh tahun lebih yang lampau, abahku dan ibuku bercadang mahu berpindah ke satu kawasan kampung di Mak Mandin, Pulau Pinang. Kawasan itu memang tak ramai penduduk. Cari punya cari punya cari rumah yang ingin disewakan, mereka pun jumpa lah satu rumah kampung yang boleh lah tahan.


Tiba hari perpindahan, abah, ibu, nenek serta kawan-kawan abah pun angkutlah segala perabot yang ada dari rumah lama (juga berdekatan Mak Mandin) ke rumah yang baru itu. Menurut mulut ibuku, kali pertama menjengah masuk ke rumah tersebut, ibuku berasa tidak sedap hati. Nenekku juga turut berasa begitu. Seakan tidak diundang di situ. Abahku hanya berkering hati dan tetap mahu pindah masuk. Katanya, "Besala tu nak masuk ghumah baghu, memang la dok ghasa pelik."


Dari pagi hinggalah ke tengahari, mereka sibuk menyusun perabot-perabot di dalam rumah sewa yang baru itu. Perasaan tidak sedap hati ibu serta nenekku kian lama kian hilang. Mungkin benar kata abahku sebentar tadi.


Sudah habis susun perabot, penat serta lelah pun tiba. Jadi mereka bersependapat alangkah baik jika mereka pergi melantak di mana-mana kedai makan sekejap. Memandangkan itu kawasan kampung, maka mereka perlu keluar dari kawasan itu dan pergi ke pekan untuk makan.


Habis sahaja makan, mereka pun pulang.


Tiba sahaja di ruang tamu, mereka perasan akan sesuatu. Sesuatu yang agak mustahil kerana pintu rumah memang dikunci saat mereka keluar ke kedai makan tadi.


Segala jenis perabot berada di dalam posisi yang berubah. Almari, kerusi, peti ais, dapur serta katil semuanya berubah kedudukan. Ibu serta nenek berasa seakan tidak diundang sekali lagi. Abah berkeras. Abah masuk ke dalam rumah tersebut kerana memang perangai abah kering hatinya sebegitu. Ibu dan nenek tidak masuk.


Setelah lima minit, abah keluar. Dan berkata "Angkat balik lah perabot-perabot ni semua naik lori." dengan riak wajah yang serius.


Kelam-kabot abah, ibu, nenek serta dua tiga orang kawan-kawan abah yang masih di situ mengangkat kembali perabot masuk ke dalam lori.


Mereka kembali menyewa di rumah lama atau pun kuarters polis yang disediakan. Aku pun tak berapa ingat akan cerita ni.


Bila disoal akan ibu dan nenek, abah cuma menjawab "Aku nampak tapak-tapak kaki kecik dalam ghumah tu. Meghata ruang tamu tu ada tapak kaki. Tapak kaki hat saiz budak-budak. Mula-mula kita masuk tadi mana ada tapak kaki tu, lantai pun berdebu lagi. Yang aku pelik, hat tapak kaki tu pesen tapak kaki hat belah kiri ja, belah kanan takdak."


Aku masa tu kecil lagi. Seingat aku, memang aku tak ingat akan kejadian ni. Bayangkan kalau aku ingat peristiwa ni? Sah-sahlah aku akan nampak 'budak kecik' yang pergi ubah perabot-perabot tu.


Lepas seminggu kejadian tu, barulah ada orang kawasan kampung tu buka cerita. Katanya, tuan rumah tu dulu membela jin. Jadinya rumah tu memang 'dihuni'.


Aku sekolah rendah dekat Mak Mandin tu jugak. Aku dapat tahu cerita ni pun masa aku darjah berapa entah, aku pergi ikut kawan-kawan aku yang memang duduk kawasan kampung tu (Kampung Hijau kalau tak silap aku nama kampung tu), lepas tu aku jumpak la mak bapak kawan-kawan aku ni, mak bapak ni la yang cerita kat aku dulu. Bila aku balik rumah masa tu, aku tanya abah dengan ibu, dan mereka menyokong kuat. Pernah jugak aku terlintas sebelah rumah kampung tu, memang, memang terasa seolah-olah tak diundang.


Kisah benar ni. Siapa-siapa yang selalu perasan akan perabot dalam rumah berubah tempat tu, cuba check lantai tengok, mana lah tahu tetiba ada tapak-tapak kaki kecik, kalau takda kat lantai pun, cuba check kat siling.

4 comments:

Anonymous said...

Rumah dekat masjid tu ka ?

PokaPola said...

Entah. Aku pun tak ingat sangat tempat tu. Tapi memang ada surau/masjid dekat-dekat situ.

Anonymous said...

Jadi kalau betul lah rumah tu, dah roboh dah sebab kena makan anai - anai, sampai sekarang tak da orang nak beli rumah tu.

Anonymous said...

Hehe..