Friday, April 27, 2012

Pengalaman asrama

Kehidupan di asrama memang membosankan. Ramai antara pelajar sekolah asrama yang menyamakan kehidupan di asrama tak tumpah ibarat kehidupan di penjara. Di mana gambaran kehidupan penjara yang mereka dapat, itu masih satu misteri, dari filem Hollywood mungkin, tak mungkin dari filem Malaysia yang hanya bertemakan rempit, seram serta buah dada Angah Raja Lawak.


Masakan tidak membosankan, dari celik mata bangun tidur sehingga tertutup mata di atas katil, hanya helaian buku teks serta buku rujukan yang menjadi tatapan. Itu belum masuk wajah warden-warden asrama yang super garang. Cukup membosankan. Bagi yang bertuah, kehidupan di asrama tidaklah sebosan yang digembar-gemburkan. Saban petang ketika rakan-rakan yang lain sedang berpeluh bermain bola sepak serta petanque, mereka memadu asmara. Hendak dikatakan hensem dan lawa, jauh sekali, gatal sungguh kecik-kecik dah kapel. Bertuah. Bagi yang mencari thrill dan derusan adrenalin, makcik-makcik cleaner ataupun pakcik-pakcik guard dijadikan tempat mengorat. Bukanlah mengharap sangat hendak kapel dengan mereka yang hampir dua puluh tahun lagi tua itu, namun sekadar menge-test kemahiran menggoda. Kemahiran yang perlu diasah sebelum keluar dari zon selesa dan memasuki alam IPT.


Hamid juga seorang pelajar asrama. Hamid tidak bertuah, lalu setiap petang bermain bola sepak bersama rakan-rakan malang yang lain. Hamid juga tidak mencari thrill, lalu makcik-makcik cleaner hanya dipandang sebelah mata, cukuplah sekadar bertegur sapa sekali-sekala. Tidak perlulah diterangkan dengan lebih lanjut akan latar belakang Hamid, cukuplah sekadar nama. Lagipun itu bukan nama sebenar, kalau diberitahu akan nama sebenarnya, takut-takut disaman pula.


Suatu malam, Hamid bosan. Seperti malam-malam yang sudah. Hari ini hari minggu, lagilah bosan sebab tugasnya hanya melepak berkain pelikat cap Gajah Duduk di atas katil asrama. Asrama Hamid sangat megah, ibarat rumah pangsa. Setiap bilik diberikan kepada empat orang pelajar. Sungguh selesa. Rakan-rakan sebilik Hamid yang lain seperti biasa pada malam minggu akan ke kelas untuk mentelaah. Hamid tidak. Sebab Hamid baka malas. Lebih senang duduk-duduk di bilik.


Ada satu perihal Hamid yang tidak disenangi oleh rakan- rakan yang lain. Hamid adalah apa yang digelar, seorang kaki gebang. Apa sahaja rakan-rakan yang lain ada, pasti Hamid akan menangkis dengan berkata, "Eleh, aku pun ada benda tu dulu, cuma lagi mahal la." Cukup annoying. Ramai sudah yang bercadang mahu mem-flyingkick Hamid, namun bapa Hamid orang besar, CEO syarikat pengeluar gelang terkemuka. Takut juga kalau-kalau setelah di-flyingkick nanti Hamid akan mengadu kepada abahnya lalu abahnya pun report kepada pengetua lalu pengetua pun membuang mereka dari asrama itu. Nak tak nak, mereka sabar sahajalah.


Radio kepunyaan Hamid malam itu memainkan kaset album Alleycats, bukan main ceria Hamid menyanyikan sekali lagu itu bersama-sama alunan radio tersebut. Sambil bernyanyi girang, Majalah Ujang diselak, sesekali nyanyiannya terhenti kerana tak tahan dengan kelakar Lawak Antarabangsa majalah itu. Ketawa, menyanyi, ketawa lagi, sambung menyanyi lagi. Itu sajalah kerja Hamid sorang-sorang di bilik.


Tiba-tiba Hamid terdengar sesuatu, namanya dipanggil dari bilik sebelah. Suara Tahir.


"HAMID!! DATANG SINI KEJAP!!"


"KAU NAK APA TAHIR? AKU BUSY NI!!"


"DATANGLA KEJAP!! ADA BENDA BEST NI!!"


'Benda best' adalah codename kepada benda-benda yang tidak sepatutnya ditonton oleh remaja bawah umur seperti Hamid. Dengar sahaja 'benda best', Hamid cepat-cepat bangun, tutup radio, simpan Majalah Ujang kepunyaannya, mengetatkan gulungan kain pelikat, menutup pintu lokar, mencabut kunci dari mangga pintu lokar yang dikunci tadi, menggaru bontot yang sedikit kebas, lalu berjalan keluar bilik dan terus meluru ke bilik sebelah.


"Woi, bukak pintu ni, Hamid ni." kata Hamid separa berbisik setelah mendapati pintu bilik Tahir berkunci. Entah mengapa hatinya berdebar-debar. Kalau dua hari lepas, gambar ahli gusti wanita WWE, malam ini entah gambar siapa, harapan Hamid ianya gambar artis Malaysia berbikini sambil menonggek di tepi kolam renang.


KLIK. Pintu bilik dibuka. Hamid melangkah masuk sambil bontotnya yang masih kebas itu diuli-uli bagi memudahkan pengedaran darah.


Sebaik masuk. Hamid kaku. Matanya terbeliak. Kakinya sejuk. Bulu roma tengkuknya mencanak. Bulu hidungnya luruh sehelai. Bontotnya tidak lagi kebas. Bilik Tahir hanya diterangi cahaya malap lampu meja belajarnya. Di tengah-tengah bilik Tahir itu ada seketul objek berupa manusia yang berbalutkan kain putih. Umpama mayat yang dikafankan.


Hamid tergamam. Hendak menjerit, lidahnya kelu. Hendak lari, kakinya berat. Jantungnya berdegup pantas sepantas kayuhan basikal Rizal Tasin di temasya Komenwel yang lepas. Setengah minit berlalu, Hamid tak tahan, lantas punding kencingnya kencing di situ. Habis basah kain pelikat jenama Gajah Duduk berwarna pink berjalur kuning tersebut. Hamid terduduk.


"HAHAHAHAHAHAHAHAHA." Keluar tiga orang termasuk Tahir dari sebalik pintu biliknya sambil mentertawakan Hamid. Hamid keliru. Otaknya mengambil masa enam saat untuk mengesahkan bahawa itu hanyalah mainan. Hamid dikenakan oleh jiran-jiran sebelah biliknya ala-ala gaya Wakenabeb.


Tahir dan Roslan cepat-cepat menolong Hamid bangun sementara Bahar mengambil gambar Hamid yang dalam keadaan terduduk itu. Untuk dijadikan kenangan.


"Celaka la korang. Tak kelakar la hoi!" ujar Hamid lemah. Wajahnya masih pucat.


"Hahaha, rilek la Hamid, takkan bergurau pun tak boleh." balas Bahar yang tersengih.


"Babi la, kejap aku nak pergi toilet." cakap Hamid, yang mahu menukar kain pelikatnya yang basah.


"WOI!! HAMID KENCING DALAM SELUAR!!" jerit Tahir kepada sekalian yang ada di asrama itu, sambil ketawa terbahak-bahak. Jelas sekali, Tahir seronok. Maka bertepuk gempitalah mereka-mereka yang ada di asrama itu. Padan muka Hamid.


"Babi la korang, seram gila kot, real pulak tu." Hamid menceritakan pengalamannya dikenakan oleh rakan-rakan sendiri. Kini Hamid hanya berboxer sepanjbob, kain pelikat tadi sudah dijemur di ampaian.


"Tu la kau, lain kali jangan gebang sangat, ini kitorang nak kasi pengajaran kat kau." balas Tahir.


Setelah lebih lima minit mereka bersembang di dalam bilik Tahir berkenaan kejadian sebentar tadi, tentang apa perasaan Hamid, tentang bagaimana mereka merancang dengan teliti, tentang siapa mastermind di sebalik rancang itu (Tahir) dan tentang Hamid kencing dalam kain pelikat, Hamid teringat sesuatu.


"Eh, mana Jalil?" soal Hamid.


"Jalil? Jalil pergi kelas la, dating dengan Fauziah."


"Eh? Habis siapa yang jadi hantu tu tadi?"


"Ala, kitorang bungkus pakai bantal je lah."


"Oh."


"Bantal tu pakai bantal aku dengan bantal Tahir, kitorang bungkus pakai cadar Bahar." ujar Roslan dengan megah.


"Babi, real gila kot. Aku ingatkan hantu betul tadi."


"Part paling susah adalah part nak bagi 'hantu' tu duduk atas lokar aku, kau tau, banyak kali jugakla kitorang try, sampai last-last kitorang sendal dengan baldi."


"Semangat betul korang, nak takutkan aku sampai buat dua 'hantu', yang first aku nampak tu terbaring atas ni ha. Siap bergerak-gerak lagi." ujar Hamid sambil menepuk-nepuk lantai.


"Lantai? Kitorang buat satu je la, yang atas lokar tu, yang atas lan--"


Maka bertempiaran larilah mereka berlima keluar dari bilik itu.




Hamid, Tahir, Roslan, Bahar. BERLIMA. Termasuk 'Jalil'.





3 comments:

silverlocket said...

Pergh cuak wes.

liz rusli said...

seram woi walau baca siang2 hari ni

rose said...

adoiii... dah la aku baca nih pukul 1.50am, kat ofis pulak tu...