Sunday, November 11, 2012

Pisang emas

Pisang emas dibawa berlayar,
Masak sebiji di atas peti;
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi dibawa mati.


Hari ini tidak lain dan tidak bukan aku akan cuba memporak-porandakan pepatah orang-orang tua. Bukanlah bermaksud bahawa aku ni orang tua. Jauh sekali. Biar umur mencecah suku abad, namun jauh tersembunyi di dalam hati, aku masih kecil dan baru akil baligh. Jadi ayuh intrepret pepatah di atas dari kaca mata budak.


Jika diteliti, kenapa mahu berlayar dengan pisang emas? Semua orang tak tahu bahawa selain bijih timah dan getah, suatu masa dahulu Tanah Melayu adalah pengeksport terbesar pisang. Dan dalam banyak-banyak pisang, pisang emas lah yang paling laris. Kalau kau nak tahu, Tanah Melayu dulu pernah digelar dengan nama Tanah Pepisang atau The Land of Bananas oleh orang putih.


Dah jauh-jauh berlayar ke Eropah dan ke Togo, tetiba ada satu ja pisang emas yang masak. Tu yang jadi masak sebiji di atas peti tu. Peti tu aku syak peti ais. Pisang ni jenis kena simpan dalam peti ais, nak kekalkan kesegaran dan ketegangan dia. Cuma pelayar tu tertinggal sebijik di atas peti ais, cepat je pisang emas tu masak.


Hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati.


Aku ada masalah sikit nak memahami maksud dia. Hutang emas memang lah wajib dibayar. Yang hutang budi tu. Seolah-olah dia cuba cakap bahawa hutang budi kau tak payah bayar.


"Aku ada terhutang budi dengan kau sebenarnya Rahman. Tapi aku taknak bayar sebab aku bawa ke mati. Hutang emas boleh kubayar, hutang budi kau aku nak bawa mati. Peduli apa aku."


Sebab itu lah juga aku rasa bahawa budaya ungkit-mengungkit dikecam keras di Malaysia. Sebabnya tak guna pun mengungkit, bukannya dia nak bayar budi kau, alih-alih bawa ke mati. Jadi, lepas ni kalau ada siapa-siapa yang malas bayar budi kau, kau buat rilek je. Memang orang dulu-dulu dah ramal dah perkara tersebut.


Pisang emas dibawa berlayar,
Pisang cokelat di dalam seluar;
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang aku taknak pula bayar?


Arakian. Terima kasih.

No comments: